Pengampunan kontroversi Trump

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A

Tinggal 24 hari sebelum meninggalkan Rumah Putih, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terus membuat kejutan dengan menggunakan kuasanya untuk memberi pengampunan.

Bagaimanapun senarai individu yang mendapat pengampunan Presiden daripada parti Republikan itu menimbulkan kontroversi apabila Trump membebaskan sekutu politik, bekas askar dan ahli perniagaan yang sebelum ini disabitkan dalam pelbagai jenayah besar.

Tindakan itu juga telah mencetuskan kontroversi dan kemarahan bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi juga di Iraq.

Pada 22 Disember lalu, pengampunan penuh diberikan kepada 15 orang termasuk George Papadopoulos yang pernah menjadi penasihat Trump dalam kempen pilihan raya Presiden pada tahun 2016.

Papadopoulos sebelum ini mengaku menipu para penyiasat Biro Penyiasat Persekutuan (FBI) pada tahun 2017 tentang hubungannya dengan seorang profesor yang berjanji untuk menghubungkannya kepada beberapa pegawai kanan Rusia.

Presiden AS itu turut membenarkan hukuman ke atas lima lagi individu diringankan setelah mereka didapati bersalah dalam pelbagai kes di AS.

Beliau turut mengampunkan empat bekas askar negara itu yang bertugas sebagai kontraktor keselamatan firma Blackwater. Empat sekawan itu dihukum penjara kerana didapati melepaskan tembakan hingga mengakibatkan 14 warga Iraq maut dan mencederakan 17 lagi yang tidak bersenjata di Baghdad pada tahun 2007.

Artikel Berkaitan:

Empat bekas askar AS yang membunuh 14 warga Iraq dalam kes Blackwater di Iraq turut mendapat pengampunan Trump.
Empat bekas askar AS yang membunuh 14 warga Iraq dalam kes Blackwater di Iraq turut mendapat pengampunan Trump.

Mereka mendakwa melakukan perbuatan itu bagi bertindak balas ke atas para pemberontak yang melepaskan tembakan, namun Kementerian Luar Iraq pada Rabu lalu menyatakan ia meminta Washington untuk mengkaji semula keputusan tersebut.

Menurut AFP, kementerian berkenaan menganggap pengampunan itu tidak konsisten dengan pentadbiran AS yang pernah mengisytiharkan komitmennya terhadap nilai-nilai hak asasi manusia, keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Bapa menantu

Trump juga dikatakan memberikan pengampunan kepada beberapa orang yang disabitkan dengan kesalahan dadah.

Tiga bekas ahli Kongres AS daripada parti Republikan turut diberikan pengampunan iaitu Duncan Hunter, Chris Collins dan Steve Stockman.

Antara kesalahan mereka termasuklah terlibat dalam perdagangan dalaman, menyalahgunakan ratusan ribu dolar dana kempen untuk digunakan bagi menampung kos percutian keluarga, menipu FBI dan membiayai hubungan sulit.

Pada hari Rabu pula, beliau mengampunkan seorang pemaju hartanah iaitu Charles Kushner iaitu bapa menantu lelakinya, Jared Kushner yang juga penasihat kanan Trump.

Trump turut memberi pengampunan kepada bapa menantunya, Charles Kushner.
Trump turut memberi pengampunan kepada bapa menantunya, Charles Kushner.

Charles sebelum ini mengaku salah terhadap dakwaan mengelakkan cukai.

Trump turut bertindak memberikan pengampunan kepada bekas pengurus kempen pilihan rayanya, Paul Manafort dan penasihat Presiden AS itu, Roger Stone yang terlibat dalam siasatan berhubung campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden AS pada tahun 2016.

Beliau memberikan pengampunan kepada pesalah-pesalah yang telah melakukan kesalahan di peringkat Persekutuan dan bukan melakukan kesalahan di peringkat negeri sejak tahun 2017 lagi.

Perlembagaan AS memberikan Presiden kuasa untuk mengampunkan kesalahan yang dilakukan oleh pesalah-pesalah yang menentang undang-undang AS dan mengurangkan hukuman mereka.

Beliau turut mengampunkan Alex van der Zwaan iaitu menantu bilionair Rusia, German Khan setelah beliau didapati bersalah menipu Pendakwa Raya Khas, Robert Mueller tentang hubungannya dengan seorang pegawai dalam kempen pilihan raya pasukan Trump bagi merebut jawatan Presiden AS.

Dalam sejarah negara itu, Gerald Fox ketika menjadi Presiden ke-38 telah mengampunkan bekas Presiden AS, Richard Nixon daripada sebarang kesalahan jenayah pada tahun 1974.

Nixon yang juga anggota parti Republikan meletakkan jawatan sebagai Presiden dan digantikan dengan Fox berikutan skandal Watergate apabila lima lelaki termasuk seorang ahli jawatankuasa pemilihan semula Presiden itu ditangkap kerana memecah masuk Ibu Pejabat Jawatankuasa Kebangsaan Parti Demokrat.

Skandal itu telah menggegarkan Amerika dan wartawan akhbar The Washington Post, Carl Bernstein dan Bob Woodward dikatakan menemui satu konspirasi dalam kejadian itu dan membongkar satu skandal politik dalam kes tersebut.

Presiden AS ke-42, Bill Clinton pula pernah mengampunkan adik tiri lelakinya, Roger Clinton yang didapati bersalah memiliki kokain.

Presiden yang ke-44 AS, Barack Obama daripada parti Demokrat juga pernah mengurangkan hukuman penjara seorang askar prebet negara itu, Chelsea Manning yang didapati bersalah menyerahkan ratusan ribu dokumen dan bahan-bahan sulit AS kepada laman pembocor maklumat, WikiLeaks.

Dalam pada itu, pengampunan dan pengurangan hukuman itu yang diberikan sebelum perayaan Krismas itu, lapor portal The Gazette pada 22 Disember lalu, menunjukkan beliau memberikan ganjaran kepada rakan-rakan dan sekutu-sekutunya sebelum penggal pemerintahnya berakhir pada 20 Januari tahun depan.

Portal itu mendakwa beliau akan menandatangani lebih banyak dokumen pengampunan sebelum bekas Naib Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokrat menggantikannya.