'Zaman kapal korek, ramai tak mampu ke sekolah'

Bersama pasukan rugbi Vajiravudh College dalam perlawanan rugbi VC melawan MCKK di Bangkok tahun 2001.
Bersama pasukan rugbi Vajiravudh College dalam perlawanan rugbi VC melawan MCKK di Bangkok tahun 2001.
A
A
A

Kira-kira 36 tahun lalu, seorang Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Perang Kiri, Tapah Road, Perak tergerak hati untuk pergi ke rumah seorang muridnya yang terletak di sebuah kampung.

Ketika tiba, dia melihat keadaan rumah yang daif. Di situ, dia bertemu ibu bapa murid yang mengadu tentang kesusahan hidup yang dilalui, membuatkan mereka tidak dapat menyediakan keperluan yang cukup untuk anak-anak.

Maka, tahulah guru lelaki tadi mengapa anak muridnya itu sudah lama tidak ke sekolah.

Lelaki tersebut merasakan keadaan itu tidak boleh terus dibiarkan berlaku. Sejak itu, dia bertekad untuk menghulurkan bantuan semampu yang boleh demi memastikan murid tadi dapat kembali mengikuti pembelajaran di sekolah.

Guru kanan sekolah yang prihatin itu hari ini ialah seorang tokoh pendidik yang begitu disegani di negara ini. Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berpengalaman selama 35 tahun berkhidmat dalam dunia pendidikan negara termasuk 27 tahun di sekolah luar bandar, sekolah sukan, sekolah tentera dan sekolah berasrama penuh.

Mengimbas kembali peristiwa itu, Alimuddin berkata, ketika itu negara sedang mengalami kemelesetan dan kesannya, banyak tapak kapal korek telah ditutup di Tapah menyebabkan ramai ibu bapa murid di situ hilang pekerjaan.

Bersama Sasterawan Negara A Samad Said tahun 1990an.
Bersama Sasterawan Negara A Samad Said tahun 1990an.

Beliau melihat satu per satu murid terpaksa berhenti sekolah akibat desakan hidup.

Artikel Berkaitan:

“Ketika berkhidmat di sekolah luar bandar, saya lihat ramai pelajar yang susah. Ketika itu juga saya bertanggungjawab memeriksa kedatangan murid.

“Jika ada murid yang tidak datang ke sekolah lebih tiga hari tanpa sebab, saya sendiri akan pergi ke rumah mereka.

“Ketika itulah saya temui ramai ibu bapa yang mengadu tidak mampu. Jadi saya dan pihak sekolah cuba beri bantuan apa yang termampu,” kenang beliau.

Berkongsi lanjut, bekas Pengarah Pelajaran ini berkata, selain sekolah luar bandar, pengalaman menguruskan sekolah berasrama penuh, Sekolah Sains Teluk Intan juga menjadi antara cabaran yang sentiasa dikenang beliau.

Kehidupan di asrama

“Kebimbangan sentiasa menyelubungi diri saya terutamanya memikirkan keselamatan mereka berada di bawah jagaan pengetua.

“Bukan mudah untuk mengawal pelajar pada usia remaja yang tinggal di asrama penuh dan pada masa sama berhadapan dengan tuntutan kecemerlangan sekolah,” katanya.

Namun, minat mendalam dalam dunia pendidikan sejak kecil lagi menjadi penyuntik semangat untuk beliau memberikan khidmat terbaik termasuk menitikberatkan kebajikan pelajar.

“Setiap pelajar ada masalah mereka. Kadangkala mereka tidak mahu cerita kalau kita tak dekati. Jadi saya cuba atasi dengan mendekati mereka.

“Pernah ada pelajar yang ada masalah kesihatan seperti masalah kulit, mungkin ada keluarga tidak mampu untuk rawat, saya ambil inisiatif untuk bantu rujuk pakar sehingga sembuh,” katanya.

Ditanya apa yang mendorong beliau melangkah ke dunia pendidikan, Alimuddin mengakui, kerjaya bapanya sebagai seorang guru mempengaruhi minat beliau dalam bidang ini.

Bersama Tun Dr Mahathir semasa sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2000 di Ipoh.
Bersama Tun Dr Mahathir semasa sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2000 di Ipoh.

Namun menariknya, daripada sembilan orang adik-beradik, hanya beliau yang berada dalam bidang pendidikan sehingga usia persaraan.

“Ada seorang adik perempuan saya pernah berkhidmat sebagai guru tetapi tidak lama kerana mengikut suami berpindah. Adik-beradik yang lain semua memilih kerjaya profesional yang lain.

“Sejak kecil kami seperti kanak-kanak lain yang sering diingatkan oleh ibu dan ayah supaya belajar bersungguh-sungguh. Kami dibesarkan dengan sentuhan yang cukup lembut terutamanya daripada ibu. Bapa juga tidaklah begitu garang tetapi tegas dalam hal pendidikan anak-anak,”katanya.

Jelas Alimuddin, perkara yang menjadi titik tolak buat beliau untuk mencapai sasaran dalam bidang pendidikan adalah ketika berusia 17 tahun, di mana beliau sendiri meminta kepada ayahnya agar mendaftarkannya ke sekolah berasrama.

“Di situ bermula sosialisasi kerana pertama kali saya bercampur dengan pelajar lain, tinggal dalam satu dorm, dan perlu berdikari. Dibuli setakat kena belikan makanan saja tidak melibatkan fizikal,” cerita beliau.

Minat sosial

Sifat prihatin dan lembut hati Alimuddin ternyata tidak terhenti setelah bersara daripada dunia pendidikan pada 6 November 2010, apabila beliau kini terlibat pula dalam kerja-kerja sosial melibatkan masyarakat.

Beliau turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sukarelawan Siswa di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai Cheras yang banyak terlibat membantu masyarakat yang memerlukan.

Namun pada masa sama, sudah tentu beliau masih setia mengikuti perkembangan pendidikan negara yang begitu sebati dalam diri beliau dan mahu melihat ia terus berkembang lebih-lebih lagi dalam situasi sukar ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Sudah tentu saya ingin melihat kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan terbaik dan berkualiti. Namun perkembangan mutakhir akibat Covid-19 memerlukan penelitian, pemikiran dan penyediaan strategi baharu. Moga bidang pendidikan terus menjadi pemangkin pembangunan negara,” katanya.

INFO

NAMA: Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

UMUR: 68 tahun

ASAL: Kg Mandailing, Batu 17, Ayer Tawar, Perak.

PENDIDIKAN:

Sekolah Kebangsaan Telok Murok, Sitiawan dan Anglo Chinese School, Sitiawan.

Sarjana Muda Sosiologi dan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia (1976)

Sarjana, Universiti Putra Malaysia (1989). KERJAYA 1976 - Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri Changkat Jering,Taiping, Perak

1984 - Penolong Kanan (PK) SMK Panglima Perang Kiri, Tapah Road, Perak

1988 - PK Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak

1989 - Pengetua SMK Pengkalan TLDM, Lumut, Perak

1990 - KPP Unit Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

1992 - Penolong Kanan, Kolej Melayu Kuala Kangsar,Perak

1993 - Pengetua SMK Gunung Rapat, Ipoh, Perak

1995 - Pengetua Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak

1996 - Pengetua Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak

1999-2003 - Pengetua Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak

Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Swasta

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Institusi Pengajian Tinggi Swasta

Ketua Jemaah Nazir

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Sekolah).

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (16 Julai 2007 - 16 November 2010 )ANUGERAH 2007 - Pingat PPT (Perak), AMN, AMP (Perak), Pingat Penghormatan Guru dan Pingat DPMP daripada Sultan Perak.

2009 - Anugerah PSM daripada Yang di-Pertuan Agong.

2013 - Anugerah Maal Hijrah Negeri Perak.

2016 - Anugerah Ijazah Doktor Pengurusan Pendidikan UPSI.

2016 - Anugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Kepimpinan Pendidikan - Asia Metropolitan University.