Majlis perkahwinan diteruskan, pelamin sepi tanpa pengantin

Kelihatan tetamu yang diundang mula datang ke rumah bakal pengantin perempuan di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong, Marang pagi Sabtu
Kelihatan tetamu yang diundang mula datang ke rumah bakal pengantin perempuan di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong, Marang pagi Sabtu
A
A
A

MARANG - Majlis perkahwinan pasangan pengantin, Naim Hariri Kamaruddin, 31, yang dikhuatiri lemas di Pantai Kelulut, di sini tetap diteruskan di kediaman bakal pengantin perempuan, Fatin Nabila Huda Ismail, 27, di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong di sini pada Sabtu.

Hasil tinjauan di kediaman bakal pengantin perempuan mendapati pelamin yang siap dipasang hanya dilihat sepi tanpa pengantin.

Tetamu jemputan mula hadir jam 10 pagi serta ahli keluarga melayan tetamu seperti biasa sambil menitiskan air mata apabila masing-masing mengucapkan takziah di atas apa yang telah berlaku.

Kelihatan segala persiapan seperti pelamin, khemah, makanan, cenderahati termasuk buku catatan kehadiran tetamu juga telah tersedia.

Menurut bapa pengantin perempuan, Ismail Awang, 61, majlis berkenaan diteruskan juga bagi meraikan tetamu yang datang termasuk dari jauh lagipun segala persiapan sudah disediakan tetapi tidak menyangka pula akan berlaku perkara sebegini.

kad jemputan pasangan itu diletakkan di atas meja di hadapan pintu utama rumah pengantin
kad jemputan pasangan itu diletakkan di atas meja di hadapan pintu utama rumah pengantin

“Walaupun sedih dengan kehilangan bakal menantu dan nasib yang menimpa anak pak cik, kami sekeluarga gagahkan diri melayan tetamu yang sudah dijemput lebih kurang 500 orang. Lagipun makanan sudah ditempah lebih awal, nanti membazir pula.

“Hanya majlis akad nikah yang sepatutnya berlangsung jam 10 pagi tadi yang dijadualkan berlangsung di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin di sini dibatalkan.

Artikel Berkaitan:

“Anak pak cik, Fatin Nabila Huda, 27, sudah keluar awal pagi tadi ke pantai (lokasi kejadian) menghantar makanan kepada keluarga bakal suaminya selepas sempat menjamah sedikit makanan,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini.

Menurut Ismail berkata, dia sempat bersembang lebih kurang 10 minit dengan bakal menantunya itu pagi Jumaat yang datang bertandang sekejap ke rumah untuk bertanya khabar dan melihat persiapan yang sedang dilakukan sebelum pulang semula ke tempat penginapan mereka sekeluarga yang tiba di Terengganu pada Khamis.

Menceritakan perihal hubungan Fatin iaitu anak ketiga daripada enam beradik bersama bakal menantunya itu, Ismail berkata, mereka baru bertunang sebulan lalu dan telah menetapkan tarikh 26 Disember (hari ini) untuk majlis perkahwinan sementara majlis sebelah pihak lelaki diadakan di Kuala Lumpur yang dirancang pada 9 Januari depan.

Sebahagian cenderahati yang hendak diagihkan kepada tetamu disusun di hadapan rumah
Sebahagian cenderahati yang hendak diagihkan kepada tetamu disusun di hadapan rumah

“Pak cik difahamkan ibu Naim dah pesan jangan mandi pantai tetapi tidak tahu macam mana dia mandi juga, katanya nak pergi bersiar-siar ambil gambar sahaja bersama satu-satunya adik perempuannya itu sebelum insiden itu berlaku," katanya.

Pesara kerajaan itu berkata, dia tahu anaknya kuat walaupun sekarang nampak dia mengalami sedikit trauma kerana kejadian itu berlaku sehari sebelum majlis perkahwinan mereka.

Dia turut berharap Naim dapat ditemui walau dalam apa jua keadaan sekalipun, biarlah kedua keluarga dapat menatapnya buat kali terakhir.

ARTIKEL BERKAITAN:Bakal pengantin dijadual nikah hari ini dikhuatiri lemas