Aliran trafik dijangka meningkat tengah malam ini, esok

Tinjauan petang tadi mendapati trafik bergerak lancar namun terdapat pertambahan jumlah kenderaan yang menggunakan laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menuju ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru berikutan cuti umum Hari Natal yang bakal disambut esok.
 - Foto Bernama
Tinjauan petang tadi mendapati trafik bergerak lancar namun terdapat pertambahan jumlah kenderaan yang menggunakan laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menuju ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru berikutan cuti umum Hari Natal yang bakal disambut esok.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan berlaku peningkatan aliran trafik di semua arah iaitu di utara, selatan dan timur mulai tengah malam ini dan esok sempena cuti sambutan Hari Natal.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan aliran trafik sekitar 30 hingga 40 peratus berbanding aliran trafik pada hari-hari biasa.

Sungguhpun begitu, katanya, aliran trafik ketika ini terkawal kerana dipercayai keghairahan orang ramai untuk pulang ke kampung tidak begitu ketara seperti musim-musim perayaan sebelum ini.

“Ada setengah keluarga telah berada atau telah pulang ke kampung halaman lebih awal memandangkan sekolah-sekolah memang telah diberi cuti lebih awal sehingga ke awal tahun 2021.

"Saya menasihatkan orang ramai agar tidak leka bahawa perjuangan menentang pandemik Covid-19 masih belum lagi berakhir dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan masih dilaksanakan,” katanya kepada Bernama.

Azisman menyarankan agar orang ramai duduk di rumah dan tidak keluar rumah sekiranya tiada sebarang urusan rasmi walaupun rentas negeri dan daerah dibenarkan.

“Sekiranya tidak, jalan raya akan sesak dan rantaian pandemik ini tidak dapat diputuskan sepenuhnya,” katanya.

Hari ini tinjauan Bernama mendapati dua lebuh raya utama iaitu di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta mengalami peningkatan dari segi jumlah kenderaan yang dipercayai menghala ke utara dan timur untuk pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan Hari Natal.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan lalu lintas itu dilihat sekitar 4 petang tadi berikutan orang ramai mula pulang dari bekerja dan dalam perjalanan untuk keluar dari ibu negara untuk ke destinasi yang dituju. - Bernama