Jadikan kepelbagaian kaum, agama kekuatan bina negara

Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan sempena Hari Natal, hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan sempena Hari Natal, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat menjadikan kepelbagaian kaum dan agama di negara ini sebagai satu kekuatan untuk membina negara dalam meraikan semangat sambutan Hari Natal esok.

Beliau berkata, seluruh rakyat perlu bersyukur kerana setiap perayaan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini dapat disambut dengan meriah dalam suasana aman dan harmoni.

“Saya ingin mengucapkan selamat Hari Natal kepada seluruh rakyat beragama Kristian yang akan meraikannya esok.

"Sebagai rakyat dalam sebuah negara majmuk, Hari Natal memberi peluang kepada kita untuk bersama-sama meraikan dan menyambutnya dengan penuh adat dan tradisi, bukan sahaja bersama ahli keluarga tetapi juga sahabat dan seluruh lapisan masyarakat,” katanya dalam perutusan Hari Natal pada Jumaat.

Muhyiddin berkata, keharmonian hubungan antara masyarakat Kristian dan Islam dapat dilihat dalam sejarah di Andalusia suatu ketika dulu iaitu hubungan baik antara masyarakat pelbagai agama dan budaya pada ketika itu mendorong negara berkenaan mencipta kemajuan dalam pelbagai bidang.

Susulan pandemik Covid-19 yang belum berakhir, Perdana Menteri berkata, kemeriahan sambutan Hari Natal tahun ini tentu sekali agak berbeza terutamanya peluang menziarahi ahli keluarga serta sahabat agak terhad dan majlis rumah terbuka juga perlu dibuat secara sederhana.

“Nasihat saya, demi kepentingan dan kebaikan bersama, sambutlah secara sederhana perayaan Hari Natal kali ini dengan mematuhi garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Patuhilah prosedur pengambilan suhu badan, jaga penjarakan fizikal dan tidak perlu bersalaman.

"Cukup sekadar tunduk dan letakkan tangan di dada sebagai tanda hormat. Amalkan juga norma baharu iaitu kerap mencuci tangan, gunakan ‘hand sanitizer’ (pensanitasi tangan) serta pakai pelitup muka dengan betul,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin berkata, bermula 7 Disember lepas, kerajaan juga membenarkan rakyat melakukan rentas negeri dan daerah ke seluruh negara kecuali di kawasan atau zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Perdana Menteri turut menasihatkan tuan rumah yang menerima tetamu agar kerap membersihkan rumah bagi melindungi ibu bapa serta ahli keluarga yang berusia atau kurang sihat kerana mereka lebih berisiko untuk terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Beliau menegaskan seluruh rakyat juga perlu mengambil langkah lebih berhati-hati supaya orang di sekeliling dilindungi serta selamat daripada Covid-19.

“Bagi yang bergejala seperti demam atau selesema, duduklah di rumah. Tidak lupa juga, saya mendoakan agar petugas barisan hadapan, anggota keselamatan bertugas di perbatasan negara dan rakyat Malaysia yang berada di luar negara dapat menyambut perayaan ini dengan penuh kegembiraan.

“Selamat Hari Natal kepada rakyat Malaysia yang meraikannya,” kata Muhyiddin. - Bernama