Pokok getah tertua bernilai RM3.8 juta

Pokok getah tertua di Negeri Sembilan kini dijadikan sebagai produk pelancongan warisan di daerah Seremban.
A
A

SEREMBAN - Berdasarkan tulisan sejarah, pokok getah pertama yang ditanam pada tahun 1877 di negara ini yang masih hidup terdapat di Kuala Kangsar, Perak.

Tapi di Seremban, Negeri Sembilan pun terdapat pokok getah hasil anak benih sama yang masih kekal hidup di Jalan Keliling, berhadapan dengan kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan dan berdekatan dengan Galeri Diraja Tuanku Jaafar.

Ketua Unit Pelancongan Komuniti dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Shamaruddin Saidin berkata, kehadiran pokok getah berkenaan disedari oleh kakitangannya tiga tahun lalu dan kini dijadikan sebagai produk pelancongan warisan di daerah ini.

Menurutnya, berdasarkan kajian pokok getah berkenaan dipercayai merupakan satu daripada 22 anak benih yang dibawa dari Kew Gardens, England pada 1877.

“Sebanyak 11 anak benih pokok getah itu disemai di Botanic Gardens, Singapura dan selebihnya dibawa ke Malaya yang mana sembilan pokok ditanam di Kuala Kangsar dan satu di Negeri Sembilan dan Melaka.

“Kalau tengok dari segi saiznya kita percaya pokok ini merupakan anak benih yang dibawa ke sini lebih-lebih lagi pokok ini ditanam di depan bekas tapak kediaman rasmi Residen British di Negeri Sembilan,” katanya.

Pokok getah yang mempunyai lilitan batang sepanjang 3.5m dan ketinggian 25m ini berusia 120 tahun.
Pokok getah yang mempunyai lilitan batang sepanjang 3.5m dan ketinggian 25m ini berusia 120 tahun.

Beliau berkata, British membuka ladang getah pertama di Negeri Sembilan di Estet Linsum, Rantau selepas yakin melihat keupayaan, kesesuaian serta tumbesaran yang sempurna pokok getah berkenaan.

Katanya, ia telah dibuka oleh Bapa Perusahaan Getah Asli di Malaya, Thomas H Hill dengan keluasan 1,600 ekar pada 1883.

“Negeri Sembilan merupakan satu daripada tiga Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak dan Selangor yang tanaman getahnya berkembang pantas.

“Menjelang 1920, Malaya sudah pun mengeluarkan lebih separuh daripada getah dunia dan getah masih merupakan tanaman penting di rantau ini sehingga sekarang,” katanya.

Hasil penilaian pokok getah yang mempunyai lilitan batang sepanjang 3.5 meter (m) dan ketinggian 25 meter itu berusia 120 tahun.

Apa yang lebih menarik, penilaian mengikut piawaian kualiti fizikal dan sosial antarabangsa menunjukkan ia bernilai RM3.8 juta.

“Kita telah merujuk kepada pakar di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi mendapatkan data sahih,” katanya.

Disebabkan bernilainya khazanah itu, MPS telah memagar kawasan itu tahun lalu bagi mengelakkan orang ramai merosakkannya.

“Bagi kami tinggalan sejarah ini perlu dipelihara dan rasanya bukan saja orang luar, tapi orang Negeri Sembilan pun masih ramai yang tak sedar kehadiran pokok getah ini.

“Selama ini kita dengar pokok getah tertua yang masih hidup ada di Kuala Kangsar, tapi di Negeri Sembilan pun ada. Sebab itu kita turut letak beberapa papan tanda bagi memberi informasi kepada pengunjung mengenai sejarah pokok ini,” katanya.

Shamaruddin berkata, pokok getah di Kuala Kangsar terletak di tepi jalan besar, tetapi di Negeri Sembilan ia terletak di kawasan rekreasi yang luas dan tidak terganggu dengan arus pembangunan.

Menurutnya, bagi memastikan pokok itu kekal hidup, MPS juga sentiasa menyembur racun anai-anai dan menjaga kebersihan di kawasan sekitar.