400 kilang haram dikesan belum lakukan pemutihan

Dr Ahmad Fadzli bergambar bersama para pemenang selepas majlis penyampaian hadiah Program 130 untuk Video, Fotografi dan Melukis kepada pemenang di lobi MPK, di sini pada Rabu.
Dr Ahmad Fadzli bergambar bersama para pemenang selepas majlis penyampaian hadiah Program 130 untuk Video, Fotografi dan Melukis kepada pemenang di lobi MPK, di sini pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Lebih 400 kilang yang beroperasi tanpa kebenaran di daerah Klang dikesan masih belum lagi menjalani pemutihan sebagaimana diarahkan kerajaan Selangor sebelum ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, setakat ini jumlah keseluruhan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran di Klang ini berjumlah lebih 700.

"Daripada jumlah tersebut, lebih 400 kilang didapati gagal menghantar sebarang urusan untuk pemutihan yang dijalankan manakala selebihnya sudah menghantar permohonan pemutihan.

"Jadi kita sarankan agar kilang-kilang ini dapat berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan terhadap mereka," katanya.

Dr Ahmad Fadzli beramah mesra bersama para pemenang selepas majlis penyampaian hadiah Program 130 untuk Video, Fotografi dan Melukis kepada pemenang di lobi MPK, di sini pada Rabu.
Dr Ahmad Fadzli beramah mesra bersama para pemenang selepas majlis penyampaian hadiah Program 130 untuk Video, Fotografi dan Melukis kepada pemenang di lobi MPK, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Bilik Mesyuarat Raja Mahadi pada Rabu.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan kerajaan Selangor akan meneruskan program pemutihan kilang haram yang dijalankan sejak tahun 2008 lalu sehingga akhir tahun ini sebagai usaha untuk memelihara kawasan sungai di negeri ini.

Dalam pada itu, 3 November lalu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, sejumlah 5,589 kilang dikesan beroperasi tanpa kebenaran di sembilan daerah di negeri ini, dengan 869 daripadanya berada berdekatan sumber sungai utama.

Artikel Berkaitan:

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatatkan jumlah tertinggi dengan 546 kilang manakala Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) 155 kilang yang beroperasi tanpa kebenaran.

Terdahulu, MPK mengadakan majlis penyampaian hadiah Program 130 untuk Video, Fotografi dan Melukis kepada pemenang di lobi MPK di sini pada Rabu.