ADUN Pas terima baik portfolio baharu

Razman
Razman
A
A
A

IPOH - Pengumuman senarai portfolio baharu Exco Kerajaan Perak menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas tidak lagi mempengerusikan jawatankuasa agama Islam.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, pihaknya menerima baik semua portfolio yang telah diberikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Menurutnya, biarpun dua ADUN Pas diberikan peranan baharu, ia tidak sekali-kali menjejaskan usaha kerajaan negeri membantu rakyat.

"Tidak kira apa juga portfolio yang diberikan, kita akan terus memainkan peranan penting membantu rakyat dan membangunkan negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua ADUN Pas kembali dilantik sebagai Exco Perak

"Terima kasih kepada Menteri Besar Perak kerana memberi kepercayaan kepada wakil rakyat Pas memegang portfolio penting di negeri ini," katanya yang kini memegang portfolio Perladangan, Pertanian dan Sekuriti Makanan Perak kepada Sinar Harian pada Rabu.

Razman berkata, dengan portfolio baharu itu, beliau berhasrat untuk merancakkan lagi sektor pertanian di negeri ini.

Katanya, beberapa perancangan akan dibuat dalam usaha meningkatkan hasil keluaran serta pendapatan rakyat melalui pertanian.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, ketika pentadbiran di bawah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol memegang portfolio Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Masyarakat Sivil Perak.

Sementara itu, seorang lagi exco kerajaan negeri dari Pas, ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin menjelaskan perubahan portfolio itu merupakan hak prerogatif Menteri Besar Perak.

Mohd Akmal
Mohd Akmal

Katanya, sebagai anggota kerajaan, beliau menerima dengan terbuka portfolio baharu yang diberikan dan berterima kasih kepada Saarani.

Beliau kini diberikan kepercayaan menerajui Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak.

"Saya sedang meneliti dan mengkaji pelbagai perkara berkaitan portfolio baharu ini. Insya-ALLAH, akan ada beberapa pengumuman dibuat berkaitan portfolio saya nanti.

"Kita juga akan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak memandangkan portfolio ini agak penting untuk negeri," katanya yang merupakan bekas Exco Agama Islam dan Penerangan Perak ketika Ahmad Faizal menjadi Menteri Besar Perak sebelum ini.

Untuk rekod, Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri dibubarkan selepas portfolio Agama Islam diletakkan di bawah Saarani manakala penerangan pula dimansuhkan memandangkan peranan tersebut dilaksanakan oleh Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed.