Khairy sedia beri taklimat kepada PAC

Khairy Jamaluddin ketika sidang media mengenai Perkembangan Perolehan Vaksin Covid-19 Negara di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin ketika sidang media mengenai Perkembangan Perolehan Vaksin Covid-19 Negara di kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersedia memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung kos pembelian vaksin Covid-19.

Bagaimanapun katanya, ia akan berlaku sekiranya PAC bersetuju untuk tidak mendedahkan butirannya.

"Saya boleh beri penjelasan pada bila-bila masa, tetapi butiran tidak boleh didedahkan kepada umum," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Menurutnya, perjanjian kerajaan dengan syarikat farmaseutikal adalah tertakluk kepada kerahsiaan.

"Ini adalah syarat yang ditetapkan oleh syarikat farmaseutikal dan sekiranya berlaku pelanggaran ia akan menjejaskan perjanjian tersebut," katanya.

Mengambil contoh seorang Menteri Belgium yang mendedahkan harga pembelian vaksin daripada Pfizer, Khairy berkata, ciapan tersebut telah dipadamkan kerana ia melanggar perjanjian.

"Kalau ikutkan kita mahu umumkannya dan tidak mempunyai masalah (untuk dedahkan) tetapi kerajaan mengambil pendirian untuk menghormati perjanjian itu kerana yang apa penting adalah mendapat bekalan vaksin untuk rakyat kita," katanya.

Khairy yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata, perolehan vaksin daripada Pfizer-BioNtTech dan Astrazeneca dibuat secara rundingan terus.

Artikel Berkaitan:

"Melalui fasiliti Covax kita juga membuat perolehan 10 peratus lagi bagi Astrazeneca sebagai pelan B untuk memastikan negara mendapat bekalan vaksin selain solidariti global," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan ada pihak yang memperoleh RM500 juta komisen hasil pembelian vaksin tersebut, Khairy menuntut bukti dikemukakan.

"RM500 juta banyak tu... Ini adalah tuduhan tanpa bukti. Kalau hendak buat tuduhan, hatta dalam perbahasan Parlimen, mestilah dibekalkan dengan bukti.

"Tiada komisen," tegasnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam Dewan Rakyat menuntut Kementerian Kewangan (MOF) mendedahkan siapa yang mendapat komisen tersebut.

Klip video tersebut kemudiannya tular di media sosial.