KPDNHEP nafi kartel daging halal palsu wujud sejak 40 tahun lalu

Rosol ketika Program Jualan Malaysia Kempen Beli Barangan Malaysia hari ini. -Foto Bernama
Rosol ketika Program Jualan Malaysia Kempen Beli Barangan Malaysia hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan kegiatan kartel daging halal palsu telah wujud di negara ini sejak 40 tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, laporan yang mengatakan kewujudan kartel itu sudah lama di negara ini menyebabkan rakyat takut dan telah diperbesarkan.

”Tidak sampai berlarutan sehingga 40 tahun tetapi kita akan ambil tindakan dan tidak pernah berkompromi selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan Krismas 2020 serta Kempen Membeli Barangan Malaysia di Publika Solaris di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, dalang utama kartel yang membungkus semula daging import dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia di sebuah gudang di Senai, Johor akan didedahkan dalam waktu terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal

Bagaimanapun, katanya, pihaknya dinasihatkan oleh Timbalan Pendakwa Raya supaya tidak mendedahkan perkara tersebut sehingga pendakwaan selesai.

”Kita beri jaminan, jangan bimbang tentang isu ini. Kita telah membuat pemantauan dan terus memantau dengan agresif sekali.

Artikel Berkaitan:

”Setakat ini, kita telah buat sebanyak 29 pemeriksaan di premis borong serta 130 peruncit. Kita bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kastam dan juga peniaga-peniaga itu sendiri.

”Ramai yang curiga, kita ambil perhatian mereka yang terlibat ini dan dalam masa terdekat selepas pendakwaan kita akan dedahkan nama syarikat itu kepada umum. Kita tidak mahu ganggu siasatan ketika ini,” katanya.

No Image Caption

Sinar Harian pada awal bulan ini mendedahkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini.

Perkara itu dibongkarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang mengenal pasti tiga jenama popular produk daging sejuk beku keluaran Australia yang diproses di sebuah kilang sejuk beku.