Kedah sasar 50 hektar lagi tingkat hasil pengeluaran kopi

Azman menunjukkan biji kopi yang ditanam di ladang projek pembangunan Kopi Robusta di Kampung Bandar Hilir, Teloi, Sik hari ini.
Azman menunjukkan biji kopi yang ditanam di ladang projek pembangunan Kopi Robusta di Kampung Bandar Hilir, Teloi, Sik hari ini.
A
A
A

SIK - Kedah menyasarkan penambahan sebanyak 50 hektar kawasan penanaman kopi dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sekali gus memenuhi permintaan pasaran kopi negara.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin berkata, setakat ini Kedah memiliki 50.46 hektar penanaman kopi sedia ada sekitar daerah Sik, Baling, Kubang Pasu, Padang Terap, Yan dan Pendang membabitkan penanaman lebih 46,000 pokok dan 47 orang petani.

Menurutnya, penambahan keluasan penanaman kopi sebanyak 50 hektar dalam RMK12 akan turut disertai penambahan bilangan petani sejumlah 60 orang bagi menjayakan Projek Pembangunan Kopi Robusta di Kedah.

"Di daerah Sik, kita ada 23 hektar kawasan ladang kopi yang sedang membangun membabitkan 17 peserta dan 27,000 bilangan pokok, antara terbanyak di Kedah," katanya ketika melakukan lawatan kerja ke projek pembangunan kopi di Kampung Bandar Hilir, Teloi hari ini.

Beliau berkata, perusahaan kopi telah lama diusahakan rakyat Kedah.

Bagaimanapun, katanya, dengan adanya jalinan kerjasama yang telah diberi nafas baharu oleh syarikat swasta, Nestle yang mempromosikan edisi terhad menerusi Nescafe Kopi Kedah, memberi nilai tambah kepada produk keluaran tempatan.

"Penduduk Kedah telah lama mengusahakan tanaman kopi sejak 90-an namun penghasilan kopi terhenti apabila pasaran tidak menentu.

"Kemerosotan itu menyebabkan kopi terpaksa diimport dari luar.

Artikel Berkaitan:

"Kita doakan agar projek penanaman kopi Kedah akan diperluaskan lagi di mana lebih ramai yang akan terlibat," katanya.

Menurut Azman, Nestle sedang mengenal pasti pengusaha ladang di sekitar negeri ini bagi menambah bilangan pembekal kopi bagi penghasilan produk tersebut.

Katanya, keunikan dan aroma tersendiri kopi jenis Robusta yang ditanam di Kedah membolehkannya mendapat permintaan di pasaran.

"Kopi Kedah jenis Robusta sesuai dilakukan penanaman di negeri ini selain cuaca yang baik. Ia juga adalah penting dalam pemprosesan kopi yang memerlukan campuran jenis kopi yang lain bagi menghasilkan rasa yang memuaskan," katanya.

Menurutnya, pembangunan Kopi Kedah telah dianggotai Jawatankuasa 'Task Force' terdiri daripada Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Nestle.

"Kita telah merangka strategi bagi memperluaskan tanaman dengan penambahan kawasan tanaman dan memperkasa kawasan sedia ada selain melaksanakan pengurusan ladang yang betul bagi meningkatkan pengeluaran.

"Kedah rasa berbangga apabila Nestle mengeluarkan edisi terhad Kopi Kedah dan mengharapkan lebih ramai rakyat Kedah mengambil inisiatif bagi menjayakan projek berkenaan," katanya.