Covid-19: 2,144,408 rakyat Sabah sudah terima bantuan

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata seramai 2,144,408 rakyat di negeri itu yang terkesan oleh pandemik Covid-19 telah menerima bantuan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan setakat ini.

Beliau berkata bantuan kerajaan persekutuan meliputi Bantuan Sara Hidup (BSH2020), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Geran Khas Prihatin bagi perusahaan kecil dan sederhana, Program Subsidi Upah untuk majikan di Sabah dan Elaun Khas Covid-19 untuk petugas barisan hadapan.

“Bantuan kerajaan negeri pula antaranya ialah Bantuan Bakul Makanan untuk penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, keluarga yang tidak boleh keluar rumah atas arahan perintah kuarantin di rumah dan penduduk yang tersenarai dalam eKasih.

“Selain itu kerajaan negeri juga telah menyalurkan bantuan kewangan ‘one-off’ sebanyak RM300 kepada golongan yang layak serta banyak lagi bantuan-bantuan lain yang diberikan oleh kerajaan negeri seperti pengecualian sewa kepada gerai penjaja bagi tempoh tiga bulan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (BN-Usukan) yang bertanya tentang jumlah penerima bantuan untuk golongan yang terjejas akibat penularan Covid-19 di Sabah.

Menurut Masidi, sebanyak RM140.32 juta telah dibelanjakan bagi membantu meringankan beban rakyat di Sabah yang terkesan oleh penularan Covid-19 setakat 19 Disember lalu sejak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri.

“Peruntukan berkenaan ialah sebahagian daripada peruntukan Bantuan Prihatin Covid-19 berjumlah RM160 juta yang diluluskan oleh kerajaan GRS Oktober lalu. Selain itu, kita juga telah membelanjakan sebanyak RM14.04 juta daripada RM50 juta peruntukan kerajaan persekutuan yang disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: