Kenyataan Asyraf Wajdi disalah tafsir: Annuar

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika meninjau keadaan penduduk yang dilaporkan dalam keadaan daif di Blok C Flat Taman Segar Jalan Persiaran Lemak, Taman Segar Cheras hari ini. - Foto Bernama
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika meninjau keadaan penduduk yang dilaporkan dalam keadaan daif di Blok C Flat Taman Segar Jalan Persiaran Lemak, Taman Segar Cheras hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa perbincangan agihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan antara UMNO dengan Pas tetapi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) telah disalah tafsirkan, kata Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

"Yang dimaksudkan Asyraf Wajdi ialah perundingan yang final selepas ini, kerana kita menghormati kedudukan Pas sebagai ahli parti PN, itu maksudnya.

ARTIKEL BERKAITAN: PRU15: Kenyataan Asyraf Wajdi tidak wakili UMNO, kata Pas

"Jadi, mungkin dalam perundingan itu, Pas terlibat tetapi atas platform PN. Serupa juga di sebelah UMNO, kita kata BN, supaya setelah kita selesai antara UMNO, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kita sudah ada kerangka dan boleh duduk atas nama BN dan juga PN, itu di peringkat Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Perunding yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamad Hasan," katanya.

Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan serta menghadiri Program Penyerahan Bantuan Makanan dan Pelitup Muka kepada penduduk di Blok C Flat Taman Segar Jalan Persiaran Lemak, Taman Segar Cheras di sini hari ini.

Menurut Annuar, UMNO masih meneruskan rundingan pembahagian kerusi dengan Pas dan parti komponen dalam BN, sebelum dibawa ke peringkat seterusnya antara BN dan PN.

"Perundingan berjalan terus dan telah berjalan, tetapi peringkat berikutnya ialah peringkat 'gabungan' masing-masing. Jadi, mula-mula kita bincang di peringkat parti secara individu UMNO-Pas, UMNO-MCA, UMNO-MIC dan UMNO-PBRS dalam PN juga mereka ada empat parti sama macam dalam BN.

"Jadi, peringkat berikutnya adalah gabungan dengan gabungan, itu maksudnya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: