Guna peruntukan RM200,000 bantu rakyat terkesan Covid-19

Khairuddin (tiga dari kiri) menyampaikan kit permulaan kepada wakil peserta kursus selepas merasmikan program berkenaan di Pejabat GPMS cawangan Bagan Datuk semalam.
Khairuddin (tiga dari kiri) menyampaikan kit permulaan kepada wakil peserta kursus selepas merasmikan program berkenaan di Pejabat GPMS cawangan Bagan Datuk semalam.
A
A
A

BAGAN DATUK - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menggunakan peruntukan RM200,000 yang diumumkan dalam Belanjawan Perak 2021 untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

ADUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi berkata, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang memerlukan terutama bagi membeli keperluan seperti makanan dan pakaian.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang menitikberatkan keadilan sosial serta menjaga kesejahteraan rakyat.

"Pejabat saya menerima banyak permohonan bantuan. Insya-ALLAH, saya akan beri keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan Perak 2021 lulus sebulat suara

"Terima kasih diucapkan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mengumumkan peruntukan kepada semua ADUN dengan jumlah terbesar dalam sejarah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas merasmikan Kursus Asas Gunting Rambut anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) Cawangan Bagan Datuk di Pejabat GPMS Bagan Datuk pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Pasak, Misbahul Munir Masduki; Pengurus Besar Pasak, Mohamad Fikir Junit serta Pegawai Belia dan Sukan Daerah Bagan Datuk, Mohd Basharul Hafiz Saat.

Artikel Berkaitan:

Khairuddin berkata, bagi projek-projek pembangunan pula, peruntukan kerajaan negeri yang telah disediakan akan digunakan dan tidak menggunakan peruntukan khas kepada ADUN-ADUN.

Sementara itu, beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri berkaitan peruntukan yang diluluskan untuk membina jalan dari Kampung Sungai Ipil ke Kampung Sungai Dulang sepanjang 8 kilometer.

Katanya, setelah siap jalan itu kelak, tempoh masa dari Bagan Datuk ke Teluk Intan akan lebih singkat.

Mengenai Kursus Asas Gunting Rambut yang dianjurkan GPMS Bagan Datuk dengan kerjasama Pasak, Khairuddin menyambut baik program tersebut.

Katanya, program tersebut dapat memberi peluang pekerjaan baharu kepada anak muda di Bagan Datuk selain meningkatkan kemahiran tukang gunting rambut sedia ada.