Bulu ayam jadi hidangan eksklusif

Antara hidangan dihasilkan daripada bulu ayam. - Foto Agensi
Antara hidangan dihasilkan daripada bulu ayam. - Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Siapa sangka bulu ayam boleh dikitar semula menjadi sumber makanan yang kaya protein dan tanpa lemak.

Idea itu dicetuskan oleh bekas penuntut ijazah sarjana di London, Sorawut Kittibanthorn, 30, yang mahu mengubah komponen nutrien pada bulu ayam sebagai makanan.

"Bulu ayam mengandungi protein. Kita dapat mengurangkan sisa bulu ayam jika ia dapat menghasilkan sesuatu yang berguna dan mendapat permintaan ramai," ujarnya merujuk kepada kira-kira 2.3 juta tan bulu ayam yang dibuang di Eropah pada setiap tahun.

Sorawut juga percaya terdapat sehingga 30 peratus lagi sisa sama di Asia berikutan permintaan ayam yang tinggi di rantau ini.

"Idea saya masih perlu melalui beberapa lagi fasa penyelidikan dan pembangunan," katanya lagi.

Difahamkan, prototaip dihasilkannya termasuk ketulan daging ayam dan pengganti stik telah mendapat ulasan positif daripada beberapa individu.

Blogger, Cholrapee Asvinvichit turut memuji makanan dihasilkan daripada bulu ayam tersebut.

"Teksturnya sangat kompleks. Hidangan stik bersama kentang lecek dan salad ini adalah sesuatu yang tidak mungkin anda dapat bayangkan. Ia seperti menu di restoran eksklusif," menurutnya yang teruja dengan rasa unik hidangan dihasilkan daripada bulu ayam itu.

Artikel Berkaitan:

Profesor Sains Makanan di Universiti Kasesart, Hathairat Rimkeeree juga terkejut dengan olahan hebat Sorawut.

"Saya rasa ia berpotensi menjadi sumber makanan alternatif pada masa depan," katanya. - Agensi