Menu tradisional tempatan jadi pilihan Agong, permaisuri

(Dari kiri) Amir Redza Mohd Tajudin bersama kakaknya Syura Natalia dan ibu mereka yang juga Pemilik Umai Cafe Datin Jamaliah Jaafar berkongsi pengalaman mereka mengenai kesudian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Pemaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar ke Umai Cafe baru-baru ini. - Foto Bernama
(Dari kiri) Amir Redza Mohd Tajudin bersama kakaknya Syura Natalia dan ibu mereka yang juga Pemilik Umai Cafe Datin Jamaliah Jaafar berkongsi pengalaman mereka mengenai kesudian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Pemaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar ke Umai Cafe baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menu tradisional tempatan seperti lempeng pisang, lempeng kelapa, cucur udang dengan kuah kacang dan roti jala bersama kari ayam menjadi pilihan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berangkat minum petang di Umai Cafe di sini, pada 3 Feb lepas.

Kesemua menu itu beserta nasi lemak, minuman teh-o ais limau, sirap bandung, teh tarik dan lai chee kang panas merupakan cita rasa pilihan Al-Sultan Abdullah, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar bersama dua puteri baginda, Tengku Puteri Iman Afzan dan Tengku Puteri Ilisha Ameera.

Pengurus Umai Cafe, Amir Redza Mohd Tajudin, 37, memberitahu keluarga diraja berkenaan meluangkan masa kira-kira sejam di kafe tersebut dan berkenan membelanjakan RM1,000 untuk 60 pelanggan yang sedang menjamu selera pada masa itu.

"Keluarga diraja berkenaan kelihatan sungguh mesra dan dalam keadaan santai. Saya sangat berbesar hati Al-Sultan Abdullah sudi berkunjung ke Umai Cafe," katanya ketika ditemu bual media.

Kata Amir Redza, keluarga diraja berkenaan menerima layanan sama seperti pelanggan lain di Umai Cafe dengan makanan dan minuman dihidangkan menggunakan pinggan, gelas plastik serta sudu dan garpu yang biasa digunakan.

Mengimbau kembali detik kunjungan tetamu diraja itu, Amir Redza yang menguruskan Umai Cafe milik ibunya, Datin Jamaliah Ja'afar berkata beliau menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Sulit Sultan Pahang, Kolonel Nazim Mohd Alim pada kira-kira 2 petang Ahad lalu memaklumkan hasrat baginda untuk berkunjung ke kafe berkenaan pada 5 petang hari yang sama.

"Saya bertanya kembali kepada Kolonel Nazim betulkah apa yang dia beritahu dan beliau memaklumkan Al-Sultan Abdullah akan diiringi Raja Permaisuri Agong bersama dua puteri," katanya.

Amir Redza berkata pada kira-kira 3.30 petang, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya mula tiba di Umai Cafe sebagai persediaan untuk mengawal keselamatan dan ketika itu beliau betul-betul yakin keluarga diraja itu akan berkunjung ke kafenya.

Artikel Berkaitan:

Sewaktu membuat pesanan, Al-Sultan Abdullah dengan mesra dan cukup merendah diri bertanya mengenai makanan istimewa di Umai Cafe, dan baginda memberitahu ingin memilih makanan ringan sahaja.

"Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah dan kedua-dua puteri sangat mesra ketika membuat pesanan makanan. Ketika menunggu hidangan tiba, baginda berdua sempat beramah mesra dan bertanya khabar pengunjung Umai Cafe yang sedang menjamu selera," katanya.

Amir Redza berkata keluarga diraja berkenaan berangkat pulang dengan kenderaan yang dipandu Tengku Puteri Ilisha Ameera. - Bernama