Tun Rahah banyak tabur jasa bantu suami: Dr Mahathir

Mahathir bersama Siti Hasmah hadir menziarah jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah hari ini. Foto Bernama
Mahathir bersama Siti Hasmah hadir menziarah jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah banyak menabur jasa dalam membantu suaminya, Tun Abdul Razak Hussein ketika menjadi Perdana Menteri Kedua, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang mempunyai hubungan akrab dengan keluarga Tun Razak itu menyifatkan Allahyarhamah sebagai antara generasi merdeka terakhir yang tidak ternilai jasa dan sumbangannya kepada negara.

“(Beliau) generasi ‘merdeka’... tak banyak orang yang generasi merdeka yang masih ada (hidup). Mungkin (beliau) antara yang terakhir.

"Dia membantu Tun Razak (Tun Abdul Razak Hussein) semasa Tun Razak jadi Perdana Menteri (Kedua)...,” kata Dr Mahathir yang kelihatan tidak mampu menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir di Masjid Ar-Rahah di Kampung Kerinchi.

Dr Mahathir yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz adalah antara pemimpin negara dan kenalan yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.

Di sebalik tugasnya sebagai seorang isteri kepada pemimpin utama negara, Tun Rahah membuktikan bahawa kaum wanita juga boleh memberi sumbangan berkesan kepada pembangunan negara dengan membabitkan diri dalam beberapa kegiatan kaum wanita di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Rahah meninggal dunia

Tun Rahah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara

Artikel Berkaitan:

Beliau aktif dalam pergerakan Ibu UMNO (kini Wanita UMNO) dan pernah menjadi pengasas pergerakan Wanita UMNO Petaling Jaya, selain cenderung dengan kerja-kerja kebajikan khususnya yang memberi manfaat kepada kaum wanita.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, pemergian Allahyarhamah adalah satu kehilangan besar kepada negara.

“Sudah pasti sumbangan Tun Rahah kepada negara sangat-sangat besar terutamanya sebagai seorang yang telah membantu Tun Razak membina semula negara,” katanya.

Beberapa ahli politik pembangkang turut hadir memberi penghormatan terakhir antaranya seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Mewakili Wanita DAP, Young Syefura menyifatkan kecekalan dan keperibadian Allahyarhamah sebagai ibu tunggal yang membesarkan lima orang anaknya adalah contoh seorang wanita tabah.

"Beliau ialah wanita yang disegani, wanita yang cekal kerana telah berjaya membesarkan anak-anak apabila kehilangan suami pada usia muda. Kehilangan beliau adalah kehilangan besar kepada negara dan juga kepada wanita hari ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui kagum dengan ketabahan Tun Rahah yang mendidik anak-anaknya ketika suaminya, Tun Abdul Razak sedang melawan penyakit leukemia.

"Tabah dan cara dia... memang ada ciri-ciri yang kita boleh belajar (daripadanya) iaitu tabah. Salam takziah daripada saya," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, Allahyarhamah Tun Rahah merupakan lambang seorang isteri yang sukar ditandingi atas sifat-sifat mulia, lemah lembut dan pendekatan beliau bersama suami.

Pemergian Tun Rahah jelas dirasai rakyat negara ini dan bagi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Malaysia kehilangan seorang tokoh wanita yang tiada tolok bandingnya. - Bernama