Mangsa banjir di Terengganu meningkat 5,166 orang

Penduduk di perumahan Rumah Mampu Milik di Teluk Kalong, Kemaman dipindahkan ke PPS.
Penduduk di perumahan Rumah Mampu Milik di Teluk Kalong, Kemaman dipindahkan ke PPS.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk dengan mangsa yang terlibat dengan pemindahan meningkat kepada 5,166 orang, berbanding 4,702 orang pada jam 10 pagi hari ini.

Sehingga jam 12 tengah hari, empat daerah yang terjejas iaitu Kemaman, Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu melibatkan 1,282 keluarga dan kesemua mangsa ditempatkan di 46 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah mangsa dijangka meningkat susulan hujan lebat masih berlaku di beberapa daerah dan beberapa lembangan sungai utama menunjukkan trend peningkatan.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat (dua dari kiri) meninjau keadaan banjir di sekitar Kemaman.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat (dua dari kiri) meninjau keadaan banjir di sekitar Kemaman.

"Daerah Kemaman adalah yang paling teruk terjejas dengan mangsa kini meningkat kepada 4,384 orang melibatkan 1,050 keluarga. Kesemua mangsa kini ditempatkan di 26 PPS.

"Mangsa di daerah Hulu Terengganu pula meningkat kepada 506 orang daripada 148 keluarga dan kesemua mereka kini sudah dipindahkan ke 12 PPS.

"Seramai 274 mangsa di Dungun kini ditempatkan di tujuh PPS melibatkan 83 keluarga, manakala di Setiu, sebuah keluarga melibatkan dua mangsa kini ditempatkan di satu PPS," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, sembilan sungai di Terengganu sudah melepasi paras bahaya.

Artikel Berkaitan:

Tiga sungai itu melibatkan daerah Kemaman iaitu Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman (4.92 meter), Sungai Tebak di Jambatan Tebak (19.35 meter) dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih (14.61 meter).

Di Dungun, dua sungai turut melepasi paras bahaya iaitu Sungai Dungun di Jambatan Jerangau (12.56 meter) dan Sungai Dungun di Kuala Jengai (22.96 meter).

Jumlah mangsa banjir di Terengganu sehingga jam 12 tengah hari.
Jumlah mangsa banjir di Terengganu sehingga jam 12 tengah hari.

Di Hulu Terengganu pula, dua sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping (20.73 meter) dan Sungai Berang di Menerong (24.70 meter).

Dua buah lagi sungai di Terengganu yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Nerus di Kampung Langkap (21.05 meter) dan Sungai Nerus di Kampung Bukit (13.22 meter).