Sultan Selangor, Sultan Perak beri penghormatan terakhir kepada Tun Rahah

Kenderaan yang membawa Sultan Selangor memasuki Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini pagi Sabtu.
Kenderaan yang membawa Sultan Selangor memasuki Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini pagi Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat tiba untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini pagi Sabtu.

Sultan Sharafuddin yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin tiba di masjid berkenaan pada jam 9.17 pagi, sementara Sultan Nazrin tiba bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim pada jam 9.50 pagi.

Selang beberapa minit kemudian, kenderaan membawa Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat tiba dan memasuki pekarangan masjid.

Terdahulu, Tun Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court pada petang Jumaat.

Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah akan dibawa ke Masjid Negara bagi Istiadat Pengebumian Negara kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas solat Zohor.

Artikel Berkaitan: