RM55.8 juta diagih kepada 279 PPK

Che Abdullah (tengah) pada sesi penyerahan pakej Pre Prihatin sebanyak RM200,000 yang diterima Mustaffar (dua dari kiri) daripada Nik Muhammad (dua dari kanan) di PPK Raub pada Jumaat.
Che Abdullah (tengah) pada sesi penyerahan pakej Pre Prihatin sebanyak RM200,000 yang diterima Mustaffar (dua dari kiri) daripada Nik Muhammad (dua dari kanan) di PPK Raub pada Jumaat.
A
A
A

RAUB - Sebanyak RM55.8 juta peruntukan telah diagihkan kepada 279 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Pre Prihatin).

Daripada jumlah tersebut, Pahang menerima sebanyak RM4.5 juta melibatkan 23 PPK di seluruh negeri.

Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, setiap PPK menerima secara purata sebanyak RM200,000 menerusi pakej tersebut.

“Tahun 2021 adalah fasa bagi meningkatkan pengeluaran makanan.

“Dalam Belanjawan 2021, fokus kerajaan adalah memperkasakan sektor pertanian dan industri makanan supaya memberi manfaat kepada petani, peladang dan nelayan,” katanya dalam ucapan di PPK Raub di sini pada Jumaat.

Beliau turut menyampaikan bantuan zakat perniagaan bernilai RM10,000 terdiri wang tunai serta barangan makanan asas daripada PPK terbabit untuk 50 penerima terpilih membabitkan ahli peladang dan penduduk setempat sekitar Raub.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Pengarah LPP Pahang, Dzulfadli Johan dan Pengerusi PPK Raub, Datuk Indera Mustaffar Kamal Abdul Hamid.

Pada majlis sama, penyampaian pakej Pre Prihatin sebanyak RM200,000 diberikan kepada PPK Raub di mana PPK terbabit bakal melaksanakan projek tanaman cili dan timun.

Artikel Berkaitan:

PPK Raub yang kini memiliki ahli seramai 4,324 telah menerima peruntukan berjumlah RM240,000 pada awal tahun ini bagi menjalankan fertigasi terung sebanyak 4,500 polibeg dan 7,500 polibeg timun yang telah mengeluarkan hasil sebanyak RM24,800 bagi tahun pertama.

Sementara itu, bagi penerima zakat, Norashikin Ibrahim, 51, dari Kampung Batu Malim bersyukur dengan sumbangan tersebut yang disifatkan tepat pada masanya.

Ujarnya, ia akan digunakan sepenuhnya bagi keperluan persekolahan anaknya.