Piala Malaysia dibenarkan bermula Januari 2021

Kerajaan membenarkan penganjuran perlawanan bola sepak temasuk Piala Malaysia bermula Januari tahun hadapan.
Kerajaan membenarkan penganjuran perlawanan bola sepak temasuk Piala Malaysia bermula Januari tahun hadapan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penantian peminat sukan bola sepak tanah air berakhir apabila kerajaan memutuskan untuk membenarkan penganjuran sukan nombor satu negara itu temasuk Piala Malaysia bermula Januari tahun hadapan.

Pengumuman itu dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas meneliti cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang dibentangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada jawatankuasa teknikal pada Khamis.

“Perlawanan bola sepak Piala Malaysia dibenarkan bermula Januari 2021,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini pada Jumaat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Khamis dilaporkan berkata, pihaknya membentangkan SOP gelembung sukan sebagai usaha ‘menghidupkan’ semula perlawanan bola sepak di negara ini yang terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, kehadiran penonton adalah tertakluk kepada status negeri sama ada dikenakan PKPP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, negeri yang dikenakan PKPP, jumlah kehadiran penonton dihadkan 10 peratus daripada kapasiti tempat duduk atau maksimum 4,000 orang.

“Bagi negeri PKPB, perlawanan adalah tanpa kehadiran penonton manakala bagi kawasan PKPD perlawanan tidak dibenarkan,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai penganjuran kejohanan atau pertandingan peringkat antarabangsa, Ismail Sabri berkata, ia tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

Artikel Berkaitan:

Katanya, penyertaan bagi negara-negara berisiko tinggi tidak dibenarkan, kecuali mendapat kebenaran Imigresen.

"Penyertaan atlet negara ke kejohanan antarabangsa khususnya ke negara berisiko tinggi juga perlu mendapat kebenaran Imigresen.

"Bagi aktiviti sukan bersentuhan, peserta perlu menjalani ujian saringan dan disahkan negatif sebelum dibenarkan menyertai aktiviti dan acara tersebut," katanya menambah SOP terperinci boleh dirujuk menerusi laman web KBS dan juga MKN. - Bernama

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan)

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Posted by Sinar Harian on Thursday, December 17, 2020