Polis tembak tayar lori cuba lolos diri

Polis melepaskan dua das tembakan terhadap sebuah lori yang melarikan diri kerana membawa lebuh muatan dan memandu secara berbahaya sebelum berjaya ditahan di BSI, Johor Bahru, semalam.
Polis melepaskan dua das tembakan terhadap sebuah lori yang melarikan diri kerana membawa lebuh muatan dan memandu secara berbahaya sebelum berjaya ditahan di BSI, Johor Bahru, semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah lori yang cuba meloloskan diri ketika dikejar di Kilometer 7 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) di sini pada Khamis.

Dalam kejadian berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pandan pada jam 7.45 petang itu, pemandu lori muatan batu dipercayai bertindak meloloskan diri untuk mengelak ditahan kerana tidak memiliki lesen memandu dan membawa lebih muatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, lori berkenaan sebelum itu dikesan semasa sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat rondaan.

"Semasa melakukan Operasi Perdagangan (Timbang Berat), pihak polis mengesan lori berkenaan yang membawa lebih had muatan. Anggota polis kemudian menggunakan pembesar suara dan menyalakan lampu biru serta membunyikan siren amaran supaya memberhentikan kenderaan.

"Bagaimanapun lori berkenaan tidak menghiraukan arahan tersebut dan terus memecut laju masuk ke lorong Bangunan Sultan Iskandar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Padzli berkata, pihak polis kemudian terus mengejar lori berkenaan yang memandu secara berbahaya termasuk menghimpit kenderaan pasukan polis dalam percubaan meloloskan diri.

Katanya, anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku kepada pengguna jalan raya lain.

Sebaik memberhentikan lori selepas dua tayarnya pecah, beliau berkata, pemandunya melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dalam jarak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

"Semakan rekod jenayah mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau tetapi mempunyai sembilan rekod saman kesalahan trafik. Ujian air kencing ke atasnya mendapati positif dadah methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Punca kejadian mendapati suspek tidak mahu ditangkap polis kerana membawa lebih muatan selain lesen membawa barangan (GDL) sudah tamat tempoh. Pemandu tempatan berusia 31 tahun itu direman selama enam hari bermula hari ini hingga 23 Disember depan," katanya.

Menurutnya, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 42 dan Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, Seksyen 307 dan 186 Seksyen Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Padzli menasihatkan semua pemandu sekiranya pihak polis mengarahkan berhenti supaya mengikut arahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terutama membahayakan pengguna jalan raya lain.