Kaki polis digilis ketika Op Selamat

Omar patah tapak kaki kanan akibat digilis, malah dia kelihatan tenang ketika menunggu rawatan di HTJ.
Omar patah tapak kaki kanan akibat digilis, malah dia kelihatan tenang ketika menunggu rawatan di HTJ.
A
A
A

SEREMBAN – [DIKEMASKINI] Seorang anggota polis patah tapak kaki kanan akibat digilis sebuah kereta ketika sedang mengawal lalu lintas sempena Op Selamat Tahun Baru Cina di persimpangan lampu isyarat di Jalan Rasah-Port Dickson di sini, semalam.

Kejadian jam 10 pagi itu berlaku ketika Omar Mohd, 51, dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sedang bertugas dengan enam anggota lain.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superitendan Ibrahim Abdul Kadir berkata, bagi melancarkan perjalanan lalu lintas berikutan pertambahan jumlah kenderaan, kesemua anggota itu ditugaskan di lokasi sejak jam 9.30 pagi.

“Sebelum kejadian itu mangsa berada di tengah simpang mengawal lalu lintas. Namun sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu DMAX dari arah susur masuk Tol Rasah-Port Dickson yang berada di lorong kanan telah mengubah haluan ke kiri ketika menuju ke lampu isyarat.

“Akibat kesesakan kenderaan yang berada di lorong kiri, pemandunya yang berusia 53 tahun telah mengubah semula haluan ke kanan dan ketika itulah kaki mangsa telah digilis,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pemandunya yang panik telah membrek secara mengejut dan pada masa sama sebuah kereta jenis Proton Saga dari arah belakang yang tidak sempat membrek telah merempuhnya.

Beliau berkata, pemandu Proton Saga berusia 32 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan begitu juga pemandu Isuzu DMAX.

“Anggota kita yang cedera telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini, untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

“Ketika orang lain bercuti, anggota kita pula terpaksa berkorban bertugas demi keselamatan awam.

"Jadi saya nasihatkan kepada semua pemandu berhati-hatilah dan memandulah secara berhemah,” katanya.