Penerima bantuan persekolahan LZS meningkat

Saipolyazan (empat dari kiri) bersama pelajar yang menerima agihan bantuan di Ibu Pejabat LZS hari ini.
Saipolyazan (empat dari kiri) bersama pelajar yang menerima agihan bantuan di Ibu Pejabat LZS hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Penerima bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan pelajar asnaf di Selangor pada tahun ini meningkat dari 65,000 kepada 70,258 meliputi pelbagai kategori.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop berkata, menerusi sumbangan ini, setiap pelajar asnaf akan menerima bantuan yuran persekolahan antara RM100 hingga RM250 seorang bergantung kepada tahap persekolahan mereka.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sejumlah RM34.6 juta telah diperuntukkan kepada 32,722 ketua keluarga asnaf, fakir dan mualaf di seluruh negeri ini bagi membiayai persekolahan anak-anak mereka pada tahun depan.

"Bantuan tersebut akan disalurkan melalui tiga kaedah iaitu bayaran kredit ke akaun bank ketua keluarga, baucar tunai (V-Cash) di mana-mana cawangan Bank Islam atau secara tunai bagi kes-kes tertentu," katanya selepas Program Agihan Bantuan Persekolahan LZS Sesi 2021 yang berlangsung di Ibu Pejabat LZS hari ini.

Dalam program berkenaan, pelajar yang berkelayakan turut menerima bantuan keperluan peralatan sekolah iaitu sepasang pakaian seragam, kasut, stokin, alat tulis dan beberapa lagi.

Mengulas lanjut, Saipolyazan berkata, murid sekolah rendah menerima bantuan peralatan sebanyak RM170 seorang, manakala sekolah rendah agama sebanyak RM150 seorang.

"Bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan atau sekolah menengah agama pula akan menerima sebanyak RM200.

"Kelengkapan persekolahan ini boleh ditebus dengan menggunakan MyKad ketua keluarga di pasar raya terpilih seperti Tesco, Pasar Raya Borong Sakan, Jakel, Canggih dan Fairuz Ramdan Design," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seorang penerima bantuan, Azli Ibrahim, 43, berkata, sumbangan LZS itu amat membantu anak-anaknya bagi mendapat kelengkapan persekolahan yang sempurna pada tahun depan.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, pendapatannya sebelum ini terjejas teruk ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan bantuan berkenaan sememangnya amat membantu mereka sekeluarga.

"Alhamdulillah, saya amat bersyukur apabila LZS membantu menyediakan bantuan untuk kelengkapan sekolah anak-anak saya ini," katanya.