Lapan warga China diisytihar persona non grata

Saiful Azly pada sidang akhbar mengenai rampasan dadah dan pellbagai salah laku melibatkan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Saiful Azly pada sidang akhbar mengenai rampasan dadah dan pellbagai salah laku melibatkan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Lapan rakyat China diisyihar sebagai persona non grata selepas dikaitkan dengan kes penipuan dalam talian yang beroperasi di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, pada 21 Oktober lepas.

Mereka adalah kumpulan pertama rakyat asing yang terlibat dengan kes penipuan dalam talian dikenakan tindakan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, lapan individu berkenaan mendapat perintah persona non grata pada 8 Disember selepas didapati bersalah di mahkamah pada 4 November.

Beliau berkata, baki 11 individu termasuk seorang bayi sedang dalam proses untuk mendapatkan perintah itu.

Persona non grata ialah orang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan (berat) semasa dia berada di sesebuah negara.

“Kesemua mereka berusia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan dalam operasi polis pada 22 Oktober hingga 8 November lepas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, polis percaya sindiket itu telah beroperasi antara enam bulan dan setahun yang lepas dan sering bertukar tempat pusat operasi.

“Selain itu, polis turut merampas 34 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua komputer riba, wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM214,596 dan sebuah kenderaan pelbagai guna, Vellfire,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahad lepas, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, warga asing yang didapati terlibat dan disabitkan dengan kesalahan membabitkan kegiatan jenayah akan diisytihar sebagai persona non grata.

Keputusan itu terpakai kepada semua warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen tanpa mengira jenis pas yang dimiliki.

Perkara itu turut disokong Polis Diraja Malaysia apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador semalam berkata, pihaknya akan merujuk penjenayah warga asing yang disabitkan kesalahan di mahkamah, terutama ketua sindiket penipuan dan maksiat, kepada Imigresen untuk diisytihar sebagai persona non grata. - Bernama