Tujuh individu dikehendaki bantu siasatan kes tipu jurujual

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Tujuh individu termasuk tiga wanita dikehendaki polis untuk siasatan berhubung kes penipuan terhadap seorang jurujual hingga mangsa kerugian RM136,000, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, semua suspek merupakan pemilik akaun bank yang digunakan sindiket dan dipercayai ‘keldai’ kegiatan tersebut.

Menurutnya, jurujual berusia 52 tahun itu diperdaya kononnya nombor telefon rumahnya terlibat dengan perjudian internet.

“Mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 29 Disember tahun lalu memaklumkan tentang kes tersebut sebelum dia diminta membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Mangsa menghubungi nombor yang diberikan dan berurusan dengan beberapa pegawai sebelum dimaklumkan dia turut dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram didalangi seorang lelaki,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa diminta agar memindahkan wang ke akaun yang diberikan bagi tujuan siasatan.

“Suspek berjanji akan kembalikan semua wang tersebut selepas siasatan selesai,” katanya.

Akur dengan arahan ‘pegawai polis’ berkenaan, mangsa memindahkan wangnya secara berpeningkat melalui 26 transaksi ke tujuh akaun diberikan bermula pada 29 Disember tahun lalu hingga 3 Februari tahun ini membabitkan jumlah keseluruhan RM136,000.

Artikel Berkaitan:

“Selepas pemindahan wang dilakukan, mangsa menghubungi pegawai terlibat untuk mengetahui perkembangan kesnya namun lelaki itu gagal dihubungi dan syak ditipu.

“Susulan laporan dibuat pengadu, polis membuka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaaan kerana menipu,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung akaun bank digunakan bagi mengesan dan menahan suspek terlibat.