Syahmi jadi ikon pengarah muda: Finas

Zakaria (kiri) berbual dengan bintang YouTube, Mohd Asyiff Suhaimi atau Asiff (tengah) dan Syahmi (kanan) di studio mereka di Kubang Kerian, Kota Bharu hari ini.
Zakaria (kiri) berbual dengan bintang YouTube, Mohd Asyiff Suhaimi atau Asiff (tengah) dan Syahmi (kanan) di studio mereka di Kubang Kerian, Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berharap pengarah muda bagi filem dan drama dapat menghasilkan idea penceritaan yang lebih segar bagi memenuhi keperluan semasa terutama golongan remaja.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, pengarah muda juga sebenarnya bertanggungjawab untuk mendidik masyarakat melalui mesej dalam setiap penceritaan dihasilkan.

“Pengarah muda seperti contohnya Syahmi Sazli sebenarnya lebih memahami apa yang orang muda mahukan. Dia telah berjaya menghasilkan karya yang cukup positif di mata masyarakat terutama dalam setiap mesej yang ingin disampaikan.

“Saya nasihatkan pengarah-pengarah muda lain juga boleh menjadikan Syahmi sebagai ikon dan contoh untuk menghasilkan satu idea menarik dalam karya mereka terutama untuk menyampaikan mesej bina bangsa dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Zakaria mengadakan kunjungan ke studio Syahmi Sazli yang merupakan pengarah filem Mael Totey di Kubang Kerian di sini untuk melihat sendiri proses penyuntingan yang dilakukan pengarah muda tersebut.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, pihak Finas sentiasa mengalu-alukan kerjasama yang baik daripada pengarah-pengarah muda terutama dalam pengurusan dana pembikinan sesebuah karya.

Malah, katanya, beliau juga berbangga dengan produksi Syahmi kerana mampu berdiri atas kaki sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak untuk menghasilkan filem Mael Totey yang mendapat jutaan tontonan baru-baru ini.

“Dalam Mael Totey juga kita dapat lihat Syahmi cuba ketengahkan hak orang kurang upaya (OKU) yang mungkin sebelum ini banyak diketepikan dan pandangan serong masyarakat sehingga mereka tidak diberikan peluang dalam pelbagai perkara.

Artikel Berkaitan:

“Malah Syahmi memberikan ruang sepenuhnya kepada golongan OKU ini untuk berkarya sendiri tanpa sebarang sekatan dan kawalan,” katanya.

Sementara itu, Syahmi berkata, beliau akan menghasilkan filem terbaharu tidak lama lagi dan akan memulakan penggambaran seawal April ini.

“Insya-ALLAH akan ada filem baharu untuk tahun depan. Tapi buat masa sekarang ini saya bagi tumpuan semula kepada YouTube sebagaimana sebelum ini.

“Untuk konsep filem selepas ini pun ia masih lagi mengetengahkan budaya kekampungan dan sebagainya. Cuma mungkin ada perubahan yang beberapa aspek yang akan saya lakukan terutamanya dari segi penyuntingan dan sebagainya.

“Mungkin sebelum ini kemudahan yang ada pun serba kekurangan, selepas ini kita akan lakukan penambahbaikan untuk hasilkan produk yang lebih baik,” katanya.