Dakwaan seleweng dana Finas: Sembilan syarikat gagal dihubungi

Ahmad (kiri) berbual dengan Bob Lokman (tengah) dan Zakaria (kanan) ketika melakukan lawatan ke rumah pelakon dan pelawak itu di Demit, Kubang Kerian, Kota Bharu hari ini.
Ahmad (kiri) berbual dengan Bob Lokman (tengah) dan Zakaria (kanan) ketika melakukan lawatan ke rumah pelakon dan pelawak itu di Demit, Kubang Kerian, Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) meminta sembilan daripada 44 syarikat yang didakwa menyeleweng Dana Kandungan Digital (DKD) agar dapat menghubungi pihaknya segera bagi membincangkan isu berkenaan sebelum hujung bulan ini.

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, sebanyak 35 syarikat telah pun menghubungi pihaknya dan berbincang mengenai masalah masing-masing selepas mereka didakwa gagal menyiapkan filem kenegaraan melalui dana yang disalurkan sejak tahun 2015 hingga 2019 lalu.

Beliau berkata, Finas kini menjejaki baki sembilan syarikat tersebut dan masih memberi peluang kepada mereka untuk hadir membincangkan isu tersebut sebelum ia dibawa ke peringkat guaman.

"Kalau boleh, datanglah jumpa kami dan bincang kenapa mereka tidak meneruskan perancangan mereka. Yang selebihnya sudah datang dan bincang dengan kami, mereka sudah nyatakan alasan yang berkaitan.

"Kalau ada isu yang terbengkalai dan kita melihat ia masih boleh diteruskan, mungkin kita akan bincang untuk pertambahan dana atau sebagainya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zakaria berkata, Finas memberikan masa sehingga hujung Disember ini untuk sembilan syarikat terbabit mengadakan pertemuan dengan pihaknya.

Ketika ditanya mengenai alasan yang diberikan syarikat tersebut, Zakaria berkata, antaranya disebabkan kekurangan dana untuk menyiapkan proses 'post-production'.

Terdahulu, Zakaria menyertai Program Ziarah Kasih Bob Lokman di kediaman anak seni itu di Demit, Kubang Kerian di sini.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, pihak Fians juga bertemu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob yang turut bersama-sama melawat rumah pelakon dan pelawak berkenaan.