Ahli Parlimen Batu hargai kerjasama KP Kesihatan

PRABAKARAN
PRABAKARAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di atas kerjasama beliau dalam memastikan kelancaran perjalanan Persidangan Dewan Rakyat.

Menurut Prabakaran, pihaknya menghargai kerjasama diberikan Dr Noor Hisham dengan mencari penyelesaian bagi membolehkan beliau bersama beberapa ahli Parlimen lain mengikuti persidangan berkenaan yang penting buat rakyat Malaysia.

Prabakaran berkata, baru-baru ini, beliau telah menjalani tiga ujian saringan Covid-19 dan keputusannya juga adalah negatif.

"Semua saringan diselaraskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan prosedurnya adalah amat ketat serta teliti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Prabakaran berkata, tiada sebarang kelonggaran diberikan kepada beliau atas kapasiti ahli Parlimen dalam menjalani mana-mana prosedur saringan wabak berkenaan.

Tambah beliau, pihaknya juga akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh KKM.

"Esok adalah hari terakhir kuarantin dan saya mengikut setiap SOP disarankan KKM sehingga dijamin selamat serta bebas dari ancaman wabak ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen jalani kuarantin perlu pakai PPE ke Dewan Rakyat

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tiga Ahli Parlimen yang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) boleh hadir ke persidangan Dewan Rakyat dengan pematuhan SOP ketat termasuk mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE).

Beliau berkata, selepas mengundi, Ahli Parlimen terlibat perlu meninggalkan Galeri Awam bagi mengehadkan pendedahan dengan semua orang di Parlimen.

Tiga ahli Parlimen berkenaan ialah Prabakaran; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.