Langkah pemulihan Felda dijangka bawa hasil positif pada 2023

Mustapa menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) di Dewan Rakyat hari ini.
Mustapa menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) di Dewan Rakyat hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah-langkah pemulihan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dijangka membawa hasil positif pada 2023, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, langkah berkenaan termasuk penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan Felda bagi memastikan petunjuk prestasi utama Felda yang ditetapkan dapat dicapai.

Beliau berkata, jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar yang akan memantau pelaksanaan langkah-langkah ini dengan rapi agar ia dilaksanakan dengan lebih berkesan dan lancar.

“Ini akan dapat memastikan Felda mencapai kejayaan seperti syarikat-syarikat perladangan utama yang lain dan berada di landasan yang lebih teguh bagi melunaskan tanggungjawabnya sebagai agensi yang membela nasib lebih 100,000 keluarga peneroka tanpa kebergantungan kepada kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang ingin tahu mengenai pelan perancangan kerajaan bagi memulihkan kembali aliran tunai dan juga hutang korporat Felda.

Beliau berkata, pemulihan Felda tidak lengkap dengan tindakan kerajaan semata-mata. Oleh itu, Mustapa berkata pihak pengurusan Felda telah diarahkan untuk memantapkan lagi pengurusannya.

“Sehubungan itu, pihak pengurusan Felda telah merangka Model Baharu Felda yang berteraskan kepada penambahbaikan tadbir urus, operasi ladang yang lebih cekap, warga peneroka, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan dan penggunaan teknologi serta keberkatan bagi memastikan Felda berada di tahap yang lebih mandiri dan lestari,” katanya.

Menurut Mustapa, Felda mula berhadapan dengan masalah kewangan sejak 2013 apabila menghadapi kerugian dan pendapatan sebelum cukai yang semakin merosot.

Artikel Berkaitan:

Ini antaranya disebabkan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada 2012 apabila ia kehilangan sumber pendapatan yang penting serta harga kelapa sawit yang kurang memberangsangkan.

Bagi memastikan operasi harian dan komitmen perkhidmatan kepada warga peneroka berjalan dengan lancar, Felda terpaksa membuat pinjaman dan kini menanggung jumlah hutang yang tinggi mencecah RM10.7 bilion.

Mustapa berkata, pada September tahun ini, Felda telah memaklumkan kepada kerajaan bahawa ia tidak mampu membayar balik beberapa hutangnya dan mempunyai masalah kecairan sebanyak RM1.3 bilion.

“Sehubungan ini, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan moratorium selama dua tahun kepada Felda untuk salah satu daripada hutangnya dan sebuah institusi yang lain memberi Felda moratorium selama enam bulan,” katanya.

Di samping itu, Mustapa berkata, hutang peneroka yang tinggi serta kadar kutipan hutang yang tidak memberangsangkan turut memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan kedudukan kewangan Felda.

“Bagi memastikan Felda mencapai kemampanan kewangan dan kelestarian, Jemaah Menteri pada 14 Oktober 2020 telah meluluskan pelan pemulihan Felda,” katanya.

Antara syor yang diluluskan adalah penerbitan sukuk yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM9.9 bilion yang mana RM6.0 bilion akan digunakan bagi mengurangkan beban hutang Felda dan bakinya akan digunakan untuk meningkatkan pendapatan teras iaitu melalui pengambilalihan pegangan saham FGV serta melaksanakan penamatan Perjanjian Pajakan Tanah. - Bernama