Tambahan kakitangan bantu perkasa fungsi JKM: Cuepacs

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik langkah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menambah 8,000 kakitangan kontrak di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula awal tahun depan.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, dengan pertambahan itu sudah tentu banyak program dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan dalam masa sama mengurangkan bebanan kerja kakitangan sedia ada.

"Mengikut makluman Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun hanya ada 3,000 kakitangan JKM yang bertugas di lapangan untuk memberi khidmat kepada 32 juta penduduk di negara ini.

"Ertinya, seorang petugas memberi khidmat kepada kira-kira 10,000 rakyat Malaysia. Situasi ini sudah tentu akan mengakibatkan banyak perkara yang terlepas pandang hingga menyebabkan program dilaksanakan tidak memberi kesan positif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, langkah KPWKM menstruktur semula JKM bagi menyantuni golongan sasar terutama ketika pandemik Covid-19 sebagai langkah tepat dan wajar disokong semua pihak.

"JKM merupakan tulang belakang kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam menyantuni pelbagai perkara melibatkan pembangunan sosial rakyat Malaysia.

"Bermula dengan penglibatan menangani pelbagai masalah yang timbul akibat Perang Dunia Kedua. Peranan dan fungsi JKM telah berkembang kepada perkhidmatan pencegahan dan pemulihan dalam isu-isu sosial serta pembangunan masyarakat.

"JKM ketika ini merupakan salah satu agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pembangunan sosial seharusnya selari dengan pembangunan ekonomi sekiranya salah satu daripadanya ditinggalkan, ia akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak seimbang dari sudut sosial dan ekonomi.

Dalam masa pada itu, Adnan turut berharap skim perkhidmatan pekerja lantikan kontrak setimpal dengan deskripsi kerja yang akan dilaksanakan oleh mereka kelak.

"Hal-hal kebajikan juga tidak diketepikan dan pastikan mereka tetap mendapat keistimewaan yang dimiliki oleh penjawat awam lain.

"Sekiranya ada kekosongan untuk jawatan tetap, berikanlah keutamaan untuk mereka ini memasuki perkhidmatan secara tetap berdasarkan pengalaman mereka berkhidmat. Jangan disia-siakan pengalaman dan khidmat mereka," katanya.

Artikel berkaitan- https://www.sinarharian.com.my/article/114468/BERITA/Nasional/8000-jawatan-kontrak-JKM-ditawar-tahun-depan