Kelab malam jadi pusat derma darah

Candelier yang biasanya menerangi lantai tarian kelab malam MAD di bandar Lausanne itu kini menjadi lampu untuk para jururawat menjalankan tugas mereka. - Foto Agensi
Candelier yang biasanya menerangi lantai tarian kelab malam MAD di bandar Lausanne itu kini menjadi lampu untuk para jururawat menjalankan tugas mereka. - Foto Agensi
A
A
A

LAUSANNE - Sebuah kelab malam yang ditutup akibat sekatan bagi membendung penularan Covid-19 di Switzerland telah dijadikan sebagai pusat derma darah sementara.

Candelier yang biasanya menerangi lantai tarian kelab malam MAD di bandar Lausanne itu kini menjadi lampu untuk para jururawat menjalankan tugas mereka yang turut diiringi lagu dendangan penyanyi terkenal era 1970-an, Bee Gees dan Queen serta Michael Jackson.

"Ia amat menyedihkan untuk melihat kelab malam yang sudah wujud selama hampir 35 tahun tidak beroperasi untuk tempoh terlalu lama. Kami sangat berbangga dapat menganjurkan sebarang aktiviti termasuk program seperti ini," kata Pengurus MAD, Igor Blaska.

Kelab malam terletak di daerah Flon yang biasanya meriah dengan para pengunjung telah ditutup selama hampir 10 bulan akibat sekatan ketat yang dikuatkuasakan bagi mencegah pandemik tersebut.

Ketika ini, Switzerland telah berdepan gelombang kedua jangkitan dengan lebih 350,000 kes jangkitan dan lebih 5,000 kematian direkodkan.

Sementara itu, salah seorang bekas pengunjung premis itu menyatakan dia sangat berbesar hati dapat kembali semula di kelab malam tersebut.

"Saya hadir untuk menderma darah tanpa banyak soal kerana ia adalah sebuah tempat legenda dan sarat memori indah," kata Olivier Rebel. - Agensi

Artikel Berkaitan: