JAS, MPK serbu premis jalankan aktiviti cuci tong sisa toksik terpakai

Parit di kawasan Taman Ubudiah Telok Gong, Pelabuhan Klang yang dicemari buih berwarna putih.
Parit di kawasan Taman Ubudiah Telok Gong, Pelabuhan Klang yang dicemari buih berwarna putih.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah premis yang didapati menjalankan aktiviti mencuci tong-tong berisi sisa toksik terpakai secara haram di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang didapati menjadi punca kepada pembentukan buih berwarna putih di dalam parit di sekitar kawasan perumahan Taman Ubudiah.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, perkara itu didapati hasil serbuan dijalankan JAS Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) ke atas premis berkenaan pagi tadi.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan jam 10 pagi itu, kawasan lantai dan longkang premis didapati masih basah walaupun premis tidak menjalankan sebarang operasi.

"Seorang pekerja warga asing telah berjaya melarikan diri sebaik sahaja pihak berkuasa memasuki premis.

"Siasatan mendapati sebuah kawasan berbumbung anggaran 90 kaki persegi telah dijadikan tempat mencuci tong-tong terpakai.

Kawasan penstoran tong-tong terpakai yang dikesan ketika serbuan.
Kawasan penstoran tong-tong terpakai yang dikesan ketika serbuan.

"Air cucian termasuk sisa buangan terjadual telah dialirkan secara haram ke dalam parit yang terletak di belakang premis tanpa sebarang proses pengolahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Aziah berkata, siasatan lanjut mendapati premis berkenaan memperolehi tong-tong terpakai daripada kawasan industri di sekitar daerah Klang, Selangor.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tong-tong yang telah bersih kemudiannya dijual semula kepada kilang-kilang seperti kilang pembuatan bahan kimia untuk tujuan isian semula (refill).

"Dua sampel sisa buangan terjadual yang terdapat dalam tong-tong terpakai telah diambil sebagai bahan bukti dan kawasan pencucian turut dikepung dengan pita amaran bagi mengelakkan pencerobohan bahan bukti di premis.

Gambar diambil menggunakan dron menunjukkan parit di belakang premis di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang dipenuhi cecair berwarna putih akibat aktiviti cucian tong-tong terpakai dalam serbuan hari ini.
Gambar diambil menggunakan dron menunjukkan parit di belakang premis di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang dipenuhi cecair berwarna putih akibat aktiviti cucian tong-tong terpakai dalam serbuan hari ini.

"Pemilik premis tersebut telah menyalahi Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang mana tong-tong terpakai merupakan buangan terjadual dengan kod deskripsi SW 409 dan aktiviti kitar semula ini hendaklah memperoleh lesen daripada JAS," katanya.

Susulan itu, katanya, JAS membuka kertas siasatan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"Peralatan yang digunakan dalam proses cucian turut dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan," katanya.

Tempat mencuci tong-tong terpakai.
Tempat mencuci tong-tong terpakai.