MAFI sedia kaji semula dasar usaha rancakkan penanaman bawang

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedia mengkaji semula polisi dan dasar sedia ada untuk merancakkan pertumbuhan industri agromakanan khususnya produk yang diimport.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, antara tumpuan yang akan diberikan termasuk penanaman beberapa jenis sayur yang masih dimport seperti bawang dan halia dengan lebih rancak.

Menurutnya, pihaknya mahu melihat penanaman sayur tersebut dapat ditingkatkan bagi mengurangkan kebergantungan produk import yang akhirnya akan menekan harga kepada pengguna.

"Ada beberapa penumpuan dibuat oleh kementerian terutamanya untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) dari segi pengeluaran beras dan juga meningkatkan SSL dari segi pengeluaran daging dan tenusu tempatan.

"Jadi beberapa jenis sayur-sayuran yang kita masih import dari luar terutama bawang halia dan akan menjadi tumpuan kepada kementerian memastikan pihak industri membut pelaburan untuk memulakan tanaman yang diimport ini secara besar-besaran.

"Kita akan sentiasa mengkaji dasar jika memerlukan perubahan dasar, kita akan lakukan. Jika perlu perubahan undang-undang kita akan buat.

"Ini untuk pastikan kita mempunyai kapasiti dengan penglibatan pihak swasta, dan pihak industri supaya kita dapat kurangkan kebergantungan kita terhadap barang penting makanan import," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian National Conference on Precision Biotechnology In Agriculture (NCPBA) 2020 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai usaha jangka panjang MAFI bagi berdepan isu kenaikan harga bawang import yang menekan pengguna.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kindee berkata, peruntukan Belanjawan 2021 tidak cukup untuk menampung penglibatan industri bagi merancakkan penanaman makanan import.

Justeru, katanya, pihak industri harus melibatkan diri untuk melabur dalam industri agromakanan.

"Kalau kita lihat industri agromakanan ini keseluruhannya merupakan satu industri yang berkembang walaupun dalam keadaan negara berhadapan dengan Covid-19. Industri pertanian masih mampu bergerak dan menyumbang pada keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya.