Pembelajaran jarak jauh: Pelajar perlu bijak berkomunikasi

No Image Caption
A
A
A

KOMUNIKASI merupakan proses memberi makna dan mampu mempengaruhi seseorang untuk mempercayai dan melakukan sesuatu. Kemahiran berkomunikasi turut menjadi salah satu aspek utama yang boleh mempengaruhi pencapaian pelajar dalam proses pembelajaran. Komunikasi pelajar ini melibatkan proses interaksi samada secara bersemuka atau maya bagi tujuan menerima sesuatu ilmu disamping membantu pelajar menjalankan tanggungjawab dan membina keyakinan diri.

Namun, Pandemic covid -19 ini telah mengubah norma lama dalam proses pembelajaran. segala-segalanya perlu dilakukan secara maya dan jarak jauh. Para pelajar perlu berkomunikasi secara maya antara pihak pensyarah, pentadbir universiti, dan rakan kuliah samada secara langsung atau tidak langsung. Berdasarkan perkembangan semasa, masih samar sampai bila para pelajar boleh kembali ke kampus untuk menjalankan proses pembelajaran secara bersemuka.

Walaupun terpaksa berkomunikasi secara maya, dengan perkembangan teknologi seperti Whatsapp, Telegram, Facebook, e-mel dan lain-lain kemudahan tele-mesyuarat yang telah memudahkan proses komunikasi dan interaksi untuk berlangsung secara maya. Generasi muda masa kini sudah pasti tidak mempunyai sebarang masalah untuk berhadapan dan menguruskan teknologi sebegini.

Etika dan Adab

Namun demikian, wujud rungutan dikalangan para pensyarah tentang cara para pelajar berkomunikasi. Sebagai masyarakat yang kaya dengan adab dan nilai budaya Bahasa yang tinggi, para pelajar sepatutnya menyemai etika dan adab yang sopan ketika berkomunikasi. Cara komunikasi boleh memberi gambaran dan cerminan kepada akhlak seseorang pelajar.

Para pelajar tidak seharusnya menggunakan cara berkomunikasi seperti dalam sosial media yang lain dan perlu bijak dalam menggunakan dan Menyusun ayat jelas dan tepat. Para pelajar perlu mengelakkan daripada menggunakan “short form” yang boleh membawa double meaning dan lucah ketika berkomunikasi melalui Emel, WhatApps dan sebagainya. Para pelajar perlu menyedari bahawa para pensyarah bukanlah rakan-rakan sebaya yang memahami gaya penulisan dari generasi yang berbeza.

Ketika memerlukan perbincangan secara langsung bersama pensyarah melalui panggilan telefon, para pelajar perlu memastikan waktu yang sesuai untuk pensyarah dihubungi. Waktu yang sesuai ialah pada waktu pejabat. Elakkan berhubung diluar waktu pejabat seperti waktu rehat tengah hari, dan selepas waktu pejabat. Namun, sekiranya memerlukan suatu perbincangan diluar waktu tersebut, pelajar boleh terlebih dahulu memaklumkan bagi memastikan pensyarah mempunyai kelapangan. Di sini, wujud keperluan para pensyarah memberi pertimbangan yang wajar kepada setiap permasalahan yang dihadapi oleh pelajar. Ini kerana mungkin wujud keperluan yang mendesak dikalangan pelajar untuk mendapat maklum balas para pensyarah.

Di samping itu, para pelajar perlu mengelak menyentuh hal peribadi dan dalam keadaan beremosi ketika berhubung dengan pensyarah. Pelajar perlu fokus kepada topik perbincangan yang perlu sahaja. Dalam keadaan pandemik Covid-19, sudah pasti keadaan tekanan emosi kedua-dua pihak mungkin wujud dan boleh menjadi sukar dikawal kesan daripada proses pembelajaran jarak jauh. Hal ini boleh menimbulkan salah faham yang akhirnya boleh menyebabkan wujud isu lain yang tidak sepatutnya berlaku.

Artikel Berkaitan:

Dalam proses pembelajaran secara maya, ditambah dengan kekangan bekerja dari rumah (BDR), para pensyarah dan pelajar harus saling menghargai antara satu sama lain bagi setiap usaha keras masing-masing. Masih lagi wujud laporan dikalangan para pensyarah mengatakan pelajar langsung tidak memberi respon dan begitu juga sebaliknya. Justeru, biasakan diri dengan sekurang-kurangnya mengucapkan terima kasih pada setiap usaha yang dilakukan.

Pembentukan sahsiah merupakan satu proses yang berterusan yang perlu dimainkan bersama oleh semua pihak termasuk ibu bapa dan pensyarah. Manakala para pelajar perlu sentiasa mengasah dan memperbaiki cara berkomunikasi dengan lebih baik bukan hanya untuk pembelajaran, tetapi juga sebagai persediaan untuk memasuki alam pekerjaan yang pasti lebih memerlukan kemahiran komunikasi dengan lebih baik.

*Sr Ts Dr Muhammad Azwan Sulaiman ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat Fakulti Senibina Perancangan & ukur Universiti Teknologi MARA Shah Alam