Pengetua ditahan kes rogol pelajar

Shafien (tengah) semasa sidang akhbar di IPD Bachok hari ini.
Shafien (tengah) semasa sidang akhbar di IPD Bachok hari ini.
A
A
A

BACHOK - Seorang pengetua sebuah sekolah agama di Machang ditahan awal pagi tadi selepas dipercayai terlibat dalam kes rogol seorang pelajar di sekolah itu sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, remaja perempuan berusia 15 tahun itu didakwa telah diperlakukan demikian bermula tahun 2017, namun terbongkar apabila ada pihak ketiga yang tampil mengadukan perkara tersebut kepada pihak e-Kasih.

"Perkara ini terbongkar apabila wujud pihak ketiga yang mengetahui mengenai perkara itu hadir membuat laporan kepada pihak e-Kasih. Kemudiannya, ia dimaklumkan kepada keluarga mangsa sebelum mangsa membuat pengakuan," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di sini hari ini.

Mengulas lanjut, ketika ditanya mengenai modus operandi yang digunakan pengetua berusia 45 tahun itu, Shafien berkata, mangsa dikatakan diajak ke sekolah semasa ketiadaan guru dan pelajar lain termasuklah pada hari cuti.

Malah katanya, melalui siasatan awal yang dijalankan, pengetua dan mangsa dikatakan mempunyai hubungan yang akrab antara satu sama lain.

Remaja tersebut kini dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk siasatan lanjut, manakala pengetua itu pula ditahan di kediamannya pada jam 6.30 pagi tadi untuk tindakan reman.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: