Gabungan baharu perlu ditubuh sekat pemimpin kleptokrat

Marzuki Yahya
Marzuki Yahya
A
A
A

SHAH ALAM - Satu gabungan baharu perlu ditubuhkan berbanding kerjasama yang hanya bermatlamatkan kuasa politik untuk menyekat pemimpin kleptokrat dan sekutu-sekutu mereka.

Timbalan Presiden Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya berkata, ini kerana kecelaruan politik pada masa ini telah membawa kepada isyarat yang mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, sebelum ini Perikatan Nasional (PN) telah menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas alasan DAP mengawal pergerakan dan keputusan yang dibuat pemimpin Melayu dalam PH.

Selain itu, menurutnya, PN juga tidak mahu PH terus menerajui negara kerana tidak boleh menerima kemungkinan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

"Jika Anwar mempunyai sokongan majoriti, beliau perlu diterima sebagai Perdana Menteri. Jika PN tidak mahu menerimanya, maka mereka perlu bukti di Parlimen bahawa beliau tidak mendapat sokongan majoriti.

"Itulah asas yang sepatutnya kita lalui. Sebaliknya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN memilih untuk menjadi Perdana Menteri dan menubuh kerajaan dengan tipu helah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kecelaruan itu berpanjangan seperti yang kita lihat setelah selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di mana berlaku pertikaian siapa yang lebih berhak menjadi Ketua Menteri sama ada daripada PN atau BN.

Satu lagi kecelaruan, kata Marzuki, adalah keputusan Anwar untuk tidak meminta undi belah bahagi untuk peringkat dasar Belanjawan 2021, walaupun setelah mendakwa Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kecelaruan yang berlaku juga termasuklah dengan penyingkiran Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu oleh UMNO, yang dipercayai adalah disebabkan kuasa.

"Berlatarbelakangkan kesemua ini, kami merasa sudah sampai masa kita berusaha membawa rakyat keluar dari kecelaruan akibat daripada gabungan dan perikatan antara parti-parti yang wujud semata-mata untuk mendapat kuasa, tetapi berselindung di belakang slogan agama, bangsa dan tanah air.

"Kita perlu menubuhkan gabungan baharu berpegang kepada perjuangan iaitu untuk menyekat kleptokrat dan sekutu-sekutu baharu mereka yang bersedia melakukan rasuah untuk berkuasa," katanya.

Marzuki berkata, pada masa ini orang ramai dapat melihat betapa kes-kes rasuah digugurkan.

Katanya, gabungan baharu itu juga tidak terhad kepada parti politik sahaja, tetapi harus turut merangkumi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak boleh menerima amalan itu.

"Inilah usaha yang mahu kita perjuangkan dan kita yakin, setiap pemimpin politik yang berpegang kepada prinsip akan bersama menghalang kleptokrat dari menerajui negara dan juga pemimpin politik yang mengamalkan rasuah," katanya.