'Politik ada batasnya, jangan sampai perlekeh institusi diraja' - Hishammuddin

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana pemimpin parti politik terbuka untuk berpolitik sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, namun jangan sampai memperlekehkan institusi diraja.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, proses penghakiman membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun dilalui, begitu juga Lembaga Pengampunan yang sudah membuat keputusan.

"Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah diperkenankan. Mengapa baru sekarang mahu dipolemikkan?

"Nak berpolitik, berpolitiklah tetapi jangan sampai memperlekehkan institusi diraja," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Hishammuddin berkata demikian selepas mengadakan lawatan turun padang membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dalam program santai bersama masyarakat di Medan Selera Merlimau.

Beliau berpandangan, polemik isu Najib dilihat sangat tidak masuk akal.

Tambahnya, ia boleh dikatakan 'after thought' seolah-olah perkara sedemikian perlu difikirkan kemudian.

"Walhal mereka terlibat secara langsung dalam membuat keputusan menerusi Lembaga Pengampunan.

"Saya secara peribadi terkilan apabila mereka yang menyindir dan membuat kenyataan terhadap institusi diraja. Saya anggap ia tindakan biadab dan tidak bertanggungjawab.

"Lebih-lebih lagi, sindiran itu datangnya daripada mereka yang merupakan anggotanya. Ia 'red line' pada (pendapat) saya," ujar Hishammuddin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!