X

Kindly register in order to view this article
!

Zuraida beri jaminan kes Adib akan diselesaikan

Zuraida ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberi jaminan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan diselesaikan.

Beliau bagaimanapun berkata, ketika ini kes berkenaan masih lagi dalam siasatan polis.

"Berhubung kes Muhammad Adib, bukan kita tidak mengambil peduli malah saya sendiri ketika kematiannya mengambil peduli mengenai kejadian yang berlaku.

"Jadi saya memang bersungguh-sungguh untuk memastikan kes Muhammad Adib ada penyelesaiannya," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurutnya, buat masa ini polis masih lagi menjalankan siasatan meskipun keputusan inkues sebelum ini mengesahkan wujudnya unsur jenayah dalam kematian anggota bomba terbabit.

Sementara itu, menjawab celahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang mempersoal kenapa kes terbabit masih belum dapat diselesaikan, Zuraida menjelaskan, beliau akan membuat susulan mengenai perkara itu.

"Saya akan buat susulan, Insya-ALLAH," katanya.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat hari ini turut meluluskan RUU Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi KPKT.

Keputusan itu diperoleh melalui undian belah bahagi selepas lebih 15 ahli Parlimen blok pembangkang bangun menyokong usul supaya peruntukan bagi kementerian itu diputuskan menerusi kaedah itu.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata, ahli Parlimen tidak bersetuju 96 berbanding 106 yang bersetuju, manakala 18 lagi tidak hadir apabila RUU itu diundi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!