2,742 rakyat Malaysia ditahan di luar negara

Jumlah rakyat Malaysia ditahan di luar negara itu diperoleh daripada perwakilan Malaysia di seluruh dunia. Gambar hiasan.
Jumlah rakyat Malaysia ditahan di luar negara itu diperoleh daripada perwakilan Malaysia di seluruh dunia. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Negeri (KLN) merekodkan seramai 2,742 warganegara Malaysia sedang ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, daripada jumlah itu, lebih separuh adalah membabitkan kesalahan dadah.

Menurutnya, jumlah itu diperoleh daripada perwakilan Malaysia di seluruh dunia.

"Kes paling utama adalah membabitkan kes dadah (1,434), kedua kes penipuan (406) diikuti kad kredit palsu (132), kesalahan kastam (89) dan lain-lain kes," katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Richard Riot (GPS-Serian) mengenai status terkini bilangan rakyat Malaysia yang dipenjarakan di luar negara dan apakah usaha kementerian untuk membantu mereka.

Mengulas lanjut, Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, perwakilan Malaysia di luar negara berperanan untuk menghulurkan bantuan konsular selaras dengan Konvensyen Vienna mengenai hubungan konsular 1963.

"Bantuan konsular yang termaktub di bawah akta ini termasuk memaklumkan penahanan mereka kepada pihak keluarga atau waris serta memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan tahanan sentiasa terpelihara.

"Perwakilan Malaysia juga boleh membantu mengemukakan senarai firma guaman tempatan untuk dilantik oleh tahanan atau pewaris sekiranya diperlukan.

Artikel Berkaitan:

"Setelah tahanan selesai menjalani hukuman mereka, perwakilan Malaysia akan menguruskan proses dokumentasi termasuk mengeluarkan sijil perakuan cemas sekiranya diperlukan sebagai dokumen perjalanan sementara untuk pulang ke Malaysia," katanya.

Kamaruddin berkata, kerajaan juga sentiasa prihatin terhadap kebajikan setiap warganegara Malaysia di luar negara dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan yang sewajarnya, namun perwakilan Malaysia juga perlu menghormati proses perundangan tempatan.

Katanya, seseorang individu yang ditahan di negara asing perlu bersedia untuk melalui proses perundangan di negara tersebut.

"KLN sentiasa menasihatkan rakyat negara ini yang berada atau akan mengadakan perjalanan ke luar negara untuk sentiasa berwaspada selain memahami peraturan dan undang-undang negara berkenaan bagi mengelakkan mereka terjebak dengan perkara tidak diingini," katanya.