UMNO punca Muafakat Nasional bakal terkubur?

Gerakan politik terbaharu UMNO di Perak menyebabkan status kedudukan terkini pakatan Muafakat Nasional di antara parti itu dan Pas kini mula dipersoalkan rakyat.
Gerakan politik terbaharu UMNO di Perak menyebabkan status kedudukan terkini pakatan Muafakat Nasional di antara parti itu dan Pas kini mula dipersoalkan rakyat.
A
A
A

TANGGAL 14 September 2019, tercatat sejarah cukup penting apabila dua parti terbesar Melayu, UMNO dan Pas mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional (MN) yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia.

Piagam berkenaan ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur juga menyaksikan kisah perseteruan panjang dua parti itu sejak tahun 1977, akhirnya menemui titik noktah.

“Titik persamaan UMNO, Pas telah berjaya meletakkan asas penting dalam Perlembagaan Malaysia iaitu kedudukan Islam, hak agama lain, hak bumiputera, bahasa kebangsaan, hak bermasyarakat majmuk dan lain-lain,” kata Abdul Hadi selepas majlis menandatangani Piagam Muafakat Nasional sempena Himpunan Penyatuan Ummah antara UMNO dan Pas pada tahun lalu.

Setahun sudah berlalu, tetapi malangnya situasi nya dilihat kini mula berbeza.

Walaupun UMNO dan Pas berjaya membentuk kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada bulan Mac tahun ini, hubungan antara dua parti dalam MN dilihat semakin hambar.

Terkini, polemik menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang disertai UMNO, mendapat reaksi kurang senang pemimpin Pas dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan awal menegaskan parti itu tidak akan terlibat pembentukan kerajaan baharu.

Susulan itu, ada pemimpin UMNO di peringkat negeri turut mendakwa Pas berdolak-dalik dalam isu menyokong parti itu membentuk kerajaan baharu Perak, sekali gus menyebabkan kepimpinan UMNO Kelantan mempersoalkan kesetiaan Pas dalam MN secara terbuka.

Rentetan peristiwa perbalahan dua parti itu, timbul persoalan adakah koalisi MN kini di ambang terkubur?

Artikel Berkaitan:

Atau Pas yang dilihat lebih selesa berada di bawah koalisi PN diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu, menyebabkan parti itu dicemburui UMNO?

Dua kolam

Berdasarkan pandangan umum, kepimpinan UMNO kini mula dilihat mengkritik Pas meskipun bersama dalam MN disebabkan UMNO melihat seolah-olah Pas ‘bermain dua kolam’ dan tidak setia mempertahankan koalisi MN.

Meskipun bersama di bawah payung kerajaan PN, hubungan UMNO dan Bersatu diketahui amat tegang di semua peringkat dengan sebahagian pemimpin UMNO kini lebih bersikap ‘pembangkang’ dengan mempersoalkan keabsahan sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap Muhyiddin.

“Pandangan peribadi saya, segelintir kepimpinan UMNO mula mempertikaikan Pas kerana hubungan kerjasama Pas dan Bersatu melalui PN dilihat semakin erat dan keadaan itu memberi petanda tidak baik kepada mereka.

“Pas pun mungkin sedang mengkaji semula keperluan meneruskan kerjasama MN memandangkan agenda Melayu Islam diperjuangkan piagam itu lebih dijadikan kenderaan UMNO untuk parti itu mendapat kelebihan lebih besar, bukan Pas.

“Semua tahu UMNO gunakan MN sebagai bahan propaganda untuk mereka kembali mendapat ‘nyawa’. Bagi saya, lebih baik Pas bersama Bersatu perkukuh kerjasama PN kerana Bersatu lebih menghormati Pas sebagai equal share partner dan bukan bertindak sebagai big brother,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman kepada Sinar Harian.

DR FAIZ NA'AMAN
DR FAIZ NA'AMAN

Faiz juga mempersoalkan kenyataan berterusan tidak jelas dan tegas daripada Ahmad Zahid dalam mempertahankan kesepakatan kerajaan PN, baik di Pusat atau negeri, sehinggakan pada satu tahap, ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak menolak berlaku penjajaran politik baharu dengan parti pembangkang termasuk DAP.

“Adakah UMNO hendak memberi kata dua kepada Pas dan Bersatu melalui kenyataan itu? Secara peribadi, Bersatu agak geram dengan taktik politik ugut-mengugut yang semakin menjadi-jadi dimainkan UMNO terhadap Bersatu dan Pas,” katanya.

Faiz juga mendedahkan jemputan UMNO mengajak Bersatu menyertai MN juga bersifat ‘ajak-ajak ayam’ apabila tiada sebarang tindakan susulan daripada parti itu sebaik sahaja Bersatu menerima pelawaan berkenaan.

“Bila Bersatu persiap diri untuk masuk MN, tiba-tiba tiada follow up daripada pihak sebelah sana. MN tiada panggil Bersatu dan sebut nama parti kami dalam sebarang kenyataan MN.

“Berikutan itu, Pas sebenarnya dapat menilai siapa lebih jujur dalam menjayakan kerjasama politik di antara koalisi MN atau PN," katanya.

No Anwar, no DAP

Di sebalik status kerjasama politik dalam MN menjadi tanda-tanya, Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berpandangan gabungan UMNO dan Pas itu masih penting dengan Pas tetap komited menjayakan MN demi menyatukan orang Islam.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
KAMARUZAMAN MOHAMAD

“Pas melihat MN dan PN adalah selari dengan kedua-duanya dijayakan demi penyatuan ummah.

“Tidak timbul soal perbezaan MN dan PN kerana kedua-duanya penting menentukan kestabilan negara selain menjadi penyelamat Malaysia daripada sejarah hitam pentadbiran PH (Pakatan Harapan),” katanya.

Bagaimanapun, Kamaruzaman mengakui terdapat sedikit permasalahan berlaku di peringkat akar umbi, mengambil kira krisis politik semasa yang berlaku di Perak ketika ini.

“Kerajaan PN adalah kerajaan tidak dirancang yang terbentuk secara ad hoc, tidak dinafikan memang ada sedikit masalah.

“Saya percaya melalui meja rundingan, isu di Perak akan dapat diselesaikan menerusi kesepakatan tiga parti iaitu Pas, Bersatu dan UMNO.

“Cuma saya melihat keperluan penubuhan segera Majlis Presiden PN, yang turut melibatkan Ahmad Zahid sangat mendesak dan perlu dilaksanakan segera kerana ia platform terbaik ketiga-tiga parti menyelesaikan apa jua isu,” katanya.

Pandangan sama turut diutarakan Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa yang mengakui penubuhan Majlis Presiden PN bakal memastikan tiada berlaku percanggahan atau ketidakcelaruan kenyataan antara pemimpin tiga parti berkenaan.

OTHMAN DESA
OTHMAN DESA

“Sekarang ini ketiga-tiga parti kena wujudkan Majlis Presiden PN...kena bincang betul-betul, buang tepi agenda parti dan peribadi demi capai kemenangan majoriti dua pertiga pada PRU15,” katanya.

Othman turut menegaskan krisis politik di Perak tidak mencerminkan kedudukan terkini MN dengan kerjasama politik UMNO-Pas masih menjadi agenda besar kedua-dua parti.

“Cuma saya hendak nasihatkan sebagai veteran UMNO, semua pihak jangan terlalu memainkan emosi dan membesarkan isu pada saat kita mempunyai agenda MN. Kena cari titik persamaan kerana politik sekarang adalah politik persepakatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim mengulangi keperluan MN diteruskan antara UMNO dan Pas selain hubungan erat dengan Bersatu akan terus dikekalkan.

SHAHIDAN KASSIM
SHAHIDAN KASSIM

“Kerjasama UMNO, Bersatu dan Pas amat penting untuk membolehkan kerajaan ini mendapat sokongan majoriti dua pertiga kerusi pada PRU15,” katanya.

Shahidan yang juga ahli Parlimen Arau turut menegaskan pendirian UMNO masih lagi berpaksikan ‘No Anwar, No DAP’ meskipun Ahmad Zahid sebelum ini membayangkan parti itu mungkin boleh bekerjasama dengan parti pembangkang termasuk DAP.

“(Ahmad) Zahid hanya boleh beri pandangan sebagai Presiden parti, tetapi pendirian parti masih lagi ‘No Anwar, No DAP’.

“Kenyataan beliau tidak akan hakis keyakinan rakyat terhadap UMNO,” katanya.