Tanpa EU, UK berdepan isu ekonomi

Para penyokong yang mahu UK keluar dari EU mendakwa kemakmuran ekonomi akan tetap dicapai negara itu.
Para penyokong yang mahu UK keluar dari EU mendakwa kemakmuran ekonomi akan tetap dicapai negara itu.
A
A
A

LONDON - Secara rasminya mulai 1 Januari 2021, United Kingdom (UK) tidak lagi menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU), menyebabkan ia tidak lagi tertakluk kepada pelbagai undang-undang kesatuan tersebut.

Mula menyertai EU pada 1 Januari 1973, UK telah berada dalam kesatuan itu selama 47 tahun dan berkongsi undang-undang imigresen selain mempunyai perjanjian ekonomi dengan kesatuan itu.

Namun, susulan referendum Brexit yang dikemukakan pada tahun 2016, para penyokong yang mahu UK keluar dari EU mendakwa kemakmuran ekonomi akan dicapai walaupun tanpa blok perdagangan yang ditubuhkan pada tahun 1957 itu.

Bagaimanapun, penganalisis meramalkan UK akan menerima kesan ekonomi yang lebih buruk berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia ketika ini.

Ibu pejabat Kesatuan Eropah terletak di Brussels, Belgium. - Foto AFP
Ibu pejabat Kesatuan Eropah terletak di Brussels, Belgium. - Foto AFP

Penganalisis ekonomi di firma Capital Economics di London, Thomas Pugh berkata, akan berlaku gangguan ekonomi di UK tetapi ia tidak berlanjutan bagi tempoh yang panjang.

"Jika terdapat satu perjanjian yang kemungkinan tiada tarif atau kuota pada barangan dan perdagangan, keadaan itu kekal sama seperti sekarang," katanya dalam satu nota penyelidikan seperti dilaporkan oleh AFP.

Berikutan ketiadaan satu perjanjian, UK akan kembali kepada Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) yang menyaksikan tarif dikenakan terhadap pelbagai jenis barangan sama ada untuk alat ganti kereta sehingga kepada daging.

Artikel Berkaitan:

"Namun, tempoh gangguan itu sepatutnya bagi jangka pendek," katanya.

Dalam pada itu, Bank of England meramalkan kelembapan eksport akan menyebabkan berlaku gangguan terhadap rangkaian bekalan berikutan tidak ada perjanjian perdagangan ditandatangani selepas keluar dari EU manakala ekonomi UK akan merosot sebanyak satu peratus pada suku

pertama tahun 2021.

Pengarah UK dalam Program Pertukaran Eropah, Profesor Anand Menon pula berkata, sejumlah firma yang sudah melabur di UK kerana ia mempunyai akses ke negara-negara EU tidak akan terburu-buru menutup perniagaan disebabkan oleh faktor kos.

Namun, katanya kepada portal Brink News, dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi firma-firma pelaburan seperti Nissan, Ford atau Peugeot mungkin berfikir adalah lebih baik untuk memindahkan perniagaan ke dalam satu pasaran tunggal Eropah.

Sementara itu, kajian Universiti Leuven di Belgium meramalkan lebih 500,000 orang akan kehilangan pekerjaan disebabkan oleh perpindahan kilang dan firma perniagaan ke luar UK.

Warga Kesatuan Eropah yang mahu memasuki Britain pada tahun depan dikehendaki menggunakan visa. - Foto AFP
Warga Kesatuan Eropah yang mahu memasuki Britain pada tahun depan dikehendaki menggunakan visa. - Foto AFP

Kajian firma CIPD iaitu sebuah badan profesional untuk Sumber Manusia turut mendedahkan bahawa setiap satu daripada lima buah perniagaan sedang mempertimbangkan untuk memindahkan perniagaan masing-masing ke luar UK.

Terdahulu, ketika masih menjadi anggota EU, UK berkeras mahu menggunakan mata wangnya sendiri iaitu pound sterling berbanding mata wang euro dengan alasan euro tidak memenuhi beberapa syarat yang diperlukan untuk dijadikan mata wang tunggal kesatuan tersebut.

Terdapat juga dakwaan bahawa EU yang beribu pejabat di Brussels, Belgium mengawal UK sepanjang ia berada dalam kesatuan itu.

Berikutan itu, pemimpin Parti Pembaharuan UK, Nigel Farage pernah mengisytiharkan keputusan referendum Brexit sebagai "hari kemerdekaan" dan kemenangan buat orang ramai dan bagi mereka yang berkelakuan bersopan-santun.

Dalam pada itu, hak untuk warga EU menetap dan tinggal di London tanpa visa akan turut dikuatkuasakan pada tahun depan ekoran UK tidak lagi menjadi anggota kesatuan itu. - Agensi