Individu pertama di dunia terima suntikan Covid-19

Keenan menjadi individu pertama di dunia menerima suntikan vaksin Covid-19 selepas UK melancarkan kempen vaksinasi bermula hari ini. - Foto: Agensi
Keenan menjadi individu pertama di dunia menerima suntikan vaksin Covid-19 selepas UK melancarkan kempen vaksinasi bermula hari ini. - Foto: Agensi
A
A
A

LONDON - Margaret Keenan, 90, menjadi individu pertama di dunia menerima suntikan vaksin Covid-19 dihasilkan Pfizer-BioNTech selepas United Kingdom (UK) melancarkan kempen vaksinasi hari ini.

Keenan menerima suntikan tersebut di sebuah hospital di Coventry di tengah England kira-kira seminggu sebelum wanita itu menyambut kelahirannya yang ke-91 tahun.

“Saya berasa sangat istimewa dan ia adalah hadiah hari lahir paling bermakna dalam hidup saya. Nasihat saya kepada semua yang ditawarkan vaksin itu supaya mengambil suntikan tersebut. Jika saya yang berusia 90 tahun mengambil vaksin itu, anda juga boleh ambil langkah sama,” katanya.

Difahamkan, suntikan kedua kemudiannya diberikan kepada seorang lagi warga emas dikenali sebagai William Shakespeare.

UK menjadi negara Barat pertama melancarkan program terbesar itu selepas vaksin tersebut diluluskan pada minggu lalu, namun kerajaan tidak mewajibkan suntikan vaksin tersebut.

Kumpulan pertama yang akan diberikan suntikan tersebut adalah warga emas berusia lebih 80 tahun dan petugas barisan hadapan.

Mereka kemudiannya akan diberikan suntikan dos kedua selepas 21 hari.

Perdana Menteri, Boris Johnson yang pernah disahkan positif virus itu dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) menyifatkan ia sebagai langkah besar untuk memerangi pandemik tersebut.

Artikel Berkaitan:

UK yang mencatatkan lebih 61,000 kematian akibat Covid-19 telah membuat tempahan 40 juta dos yang mencukupi untuk keperluan 20 juta penduduk. - AFP