Fitch Ratings: Tengku Zafrul persoal pendirian PH

Tengku Zafrul mempersoalkan pendirian PH dalam isu penarafan Fitch Ratings susulan kenyataan dibuat Majlis Presiden PH dalam reaksi terhadap isu tersebut dilihat bercanggah dengan kenyataan dibuat di dalam Dewan Rakyat.
Tengku Zafrul mempersoalkan pendirian PH dalam isu penarafan Fitch Ratings susulan kenyataan dibuat Majlis Presiden PH dalam reaksi terhadap isu tersebut dilihat bercanggah dengan kenyataan dibuat di dalam Dewan Rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan usaha Pakatan Harapan (PH) mempolitikkan isu Fitch Ratings adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau turut mempersoalkan pendirian PH dalam isu penarafan negara itu susulan kenyataan dibuat Majlis Presiden PH dalam reaksi terhadap isu tersebut dilihat bercanggah dengan kenyataan dibuat di dalam Dewan Rakyat.

"Saya sudah menjangka ini akan dijadikan modal politik untuk menyerang kerajaan, tetapi amat mengecewakan apabila pemimpin-pemimpin PH yang menandatangani kenyataan media tersebut, adalah mereka yang selama ini berkata yang sebaliknya.

"Pada 24 Ogos lalu, Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyatakan di Dewan Rakyat bahawa penarafan bukan isu utama yang patut diberatkan kerajaan dan 'soal defisit tidak menjadi persoalan kerana tumpuan sekarang adalah untuk menjana pertumbuhan'.

"Pada bulan yang sama, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, pula di dalam Dewan Rakyat menyeru kerajaan untuk berbelanja lebih dalam senario wabak Covid-19 ini walaupun 'hutang akan naik, fiscal deficit akan naik tetapi ini amat diperlukan'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Fitch Ratings mengumumkan penurunan penarafan ke atas Malaysia daripada 'A-' kepada 'BBB+', dengan prospek bertambah baik daripada negatif kepada stabil.

Tengku Zafrul dalam maklum balas beliau berhubung perkara itu menyatakan rasa kecewa kerajaan dan menyifatkan semakan semula penarafan ke atas Malaysia adalah disebabkan impak negatif daripada pandemik Covid-19 ke atas kedudukan fiskal negara dan situasi politik tempatan ketika ini.

Susulan itu, Anwar dalam satu kenyataan mendakwa Tengku Zafrul telah gagal menggarap tanggungjawab dalam mempersiapkan negara dengan jalan keluar bersama pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan susulan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri Kewangan gagal pikul tanggungjawab, kata Anwar

Semakan semula penarafan Fitch susulan Covid-19, politik negara

Majlis Presiden PH pula kemudiannya menggesa kerajaan supaya memberi keutamaan dan menyegerakan usul tidak percaya yang telah dibawa oleh ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, ahli-ahli Parlimen PH sendiri telah menyatakan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan kerana peruntukan memerangi Covid-19 tidak mencukupi.

"Oleh itu, berdasarkan pendirian ini, saya berharap ahli-ahli Parlimen tersebut akan konsisten dalam menyokong rang undang-undang yang diusulkan kerajaan untuk menambah peruntukan Kumpulan Wang Covid-19 sebanyak RM20 bilion dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung ini," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menekankan tentang pengiktirafan Fitch terhadap pelbagai usaha kerajaan antaranya unjuran pengurangan defisit fiskal daripada 6 peratus kepada 5.4 peratus untuk tahun 2021 dan seterusnya kepada 4.5 peratus sehingga 2023 dikatakan sasaran yang boleh dicapai.

Selain itu katanya, Fitch sendiri mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 6.7 peratus sejajar dengan unjuran kerajaan iaitu 6.5 peratus hingga 7.5 peratus bagi tahun 2021.

"Pihak PH sering mengatakan unjuran ini terlalu optimistik. Institusi lain seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula mengunjurkan pertumbuhan sehingga 7.8 peratus, iaitu lebih tinggi daripada unjuran kerajaan. Ini secara amnya menunjukkan keyakinan kepada kebolehan ekonomi Malaysia untuk melonjak kembali.

"Walaupun penarafan diturunkan, tinjauan atau outlook telah bertukar daripada ‘negatif’ kepada ‘stabil’.

"Namun perlu ditekankan, kesemua ini bergantung kepada beberapa faktor, termasuk penemuan vaksin, pematuhan kepada SOP dan kejayaan berterusan dalam memerangi penularan Covid-19. Kestabilan politik juga penyumbang penting kepada situasi ekonomi ini," katanya.

Beliau juga membidas tohmahan bahawa usaha-usaha Kementerian Kewangan tidak mendatangkan manfaat.

"Negara telah mencatatkan penguncupan KDNK yang lebih perlahan pada kadar 2.7 peratus pada suku ketiga 2020 – antara terbaik di ASEAN – berbanding 17.1 peratus pada suku kedua.

"Pakej-pakej rangsangan ekonomi juga telah membantu mengekalkan lebih 2.8 juta pekerjaan, yang boleh dilihat melalui penurunan kadar pengangguran kepada 4.6 peratus pada September berbanding 5.3 peratus pada bulan Mei.