PRK Semenyih: Polis siap sedia

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen antara Datuk Mazlan Mansor (kiri) dengan Penyandang Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini. Foto: Bernama

A
A
A

SHAH ALAM - Polis sentiasa bersedia dan telah melakukan persiapan rapi bagi memastikan keselamatan dan kelancaran PRK Semenyih 2 Mac ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya bertanggungjawab dalam aspek keselamatan dan kini sedang membuat persiapan agar tiada perkara tidak diingini berlaku sepanjang tempoh PRK ini berlangsung.

"Kita juga akan selaraskan tindakan dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan mungkin dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bagi memastikan persiapan PRK ini lancar.

“Jangan bimbang, usaha ini berterusan dan Insya-ALLAH, kita yakin tiada apa berlaku sepanjang PRK Semenyih nanti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Selangor di sini, petang tadi.

Mohamad Fuzi berkata, polis sangat mengalu-alukan sebarang maklumat membabitkan keselamatan PRK Semenyih disalurkan kepada pihaknya.

“Kalau ada apa-apa, boleh maklumkan terus kepada polis kerana kita mahu proses demokrasi subur dan pilihan raya ini berjalan baik dan lancar,” katanya.

PRK Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, dari PH akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari ini, manakala tarikh pengundian awal adalah pada 26 Februari.

Artikel Berkaitan: