X

Kindly register in order to view this article
!

Negara jiran permodenkan aset

A
A

MENJELANG enam tahun lagi, Singapura bakal menjadi kuasa udara paling dominan di rantau ini apabila mengoperasikan pesawat pejuang tercanggih, F-35B Lightning II buatan Amerika Syarikat (AS).

Pemilikan F-35B terus menjarakkan keupayaan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) berbanding jiran-jirannya. Ketika ini RSAF mengungguli kuasa udara serantau dengan ditunjangi kira-kira 100 buah pesawat pejuang F-15SG dan variasi F-16C/D/D+ Fighting Falcon.

Perolehan pesawat tempur halimunan generasi kelima itu juga memberi akses kepada Singapura untuk mengoperasikan fasiliti latihan di AS khusus bagi memahirkan juruterbang dan kru untuk mengendalikan pesawat berteknologi mutakhir itu.

AS pada Januari tahun lalu telah meluluskan penjualan sehingga 12 pesawat buatan Lockheed Martin beserta peralatan dan sokongan dengan nilai kontrak yang dianggarkan kira-kira RM11 bilion.

Singapura yang menyertai sembilan negara eksklusif lain untuk terlibat dalam program pembinaan pesawat itu sejak tahun 2004 bagaimanapun menanti tempoh yang panjang selain dipercayai telah melabur RM205 juta.

RSAF juga bakal menggandakan keupayaan pengangkutan taktikalnya menerusi perolehan helikopter Boeing CH-47F dan Airbus H225M yang dijangka tiba tahun hadapan. Difahamkan, sebanyak 32 buah helikopter kesemuanya yang dibeli bagi menggantikan CH-47D Chinook dan Super Puma.

Turut memperkuatkan pertahanan republik itu nanti ialah empat kapal selam Type 218SG kelas Invincble yang dibina firma Jerman, ThyssenKrupp Marine Systems dengan kos sebanyak RM4.8 bilion.

Kapal selam diesel elektrik ini iaitu RSS Invincible, RSS Impeccable, RSS Illustrious dan RSS Inimitable menterjemahkan kejayaan perancangan jangka panjang Singapura dalam membangunkan angkatan kapal selamnya.

Sepertimana negara-negara lain yang terkesan dengan pandemik Covid-19, begitu juga Singapura apabila kapal selam pertama yang sepatutnya tiba tahun hadapan akan mengalami kelewatan setahun lagi.

Dalam pada itu, bulan lalu Filipina pula menerima kumpulan pertama lima daripada 16 buah helikopter S-70i Blackhawk yang dibeli dari Poland. Penghantaran kumpulan kedua iaitu enam lagi helikopter pula tiba pada bulan ini manakala bakinya tahun hadapan.

Kerjasama

Kesemua helikopter ini dibina firma Poland, PZL Mielec iaitu syarikat subsidiari pengeluar asalnya, Lockheed Martin. Kontrak perolehan bernilai RM978 juta ini dimeterai Filipina pada 2019 menerusi kerjasama dengan AS.

Selain itu, Filipina juga dijangka memeterai kontrak dengan Rusia bagi pembelian 16 buah helikopter pengangkut Mi-171 yang dianggarkan bernilai RM1 bilion. Sebagai sebuah negara kepulauan dengan kira-kira 7,000 buah pulau-pulau kecil, pengoperasian helikopter pengangkut sememangnya amat diperlukan di sana.

Indonesia pula masih belum memuktamadkan keputusan sama ada untuk meneruskan pembelian 11 pesawat superioriti Sukhoi Su-35 dari Rusia yang dijangka menelan belanja RM4.5 bilion.

Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) pada masa ini memiliki tiga variasi keluarga pesawat Flanker iaitu lima pesawat Su-27SK, Su-30MK (dua) dan Su-30MK2 (sembilan) yang dibeli antara tahun 2003 hingga 2008.

Republik itu perlu menyegerakan perolehan pesawat baharu bagi menggantikan 16 pesawat F-5E/F Tiger II yang dihentikan operasi. Pada masa sama, beberapa negara masih mengintai peluang memenangi kontrak itu.

AS misalnya bersedia menawarkan pesawat tempur F-16 Viper (Block 70/72) bagi memenuhi keperluan TNI-AU. Sekiranya dibeli, ia merupakan petanda positif buat Washington yang kali terakhir menjual pesawat kepada Indonesia kira-kira 31 tahun lalu iaitu 12 buah pesawat F-16A/B menerusi program Peace Bima-Sena 1.

Mutakhir, Perancis pula dikatakan bersetuju untuk menawarkan sebanyak 36 buah pesawat tempur termodennya, Dassault Rafale. Jika berjaya dimuktamadkan, ia menjadi penjualan terbaharu Perancis selepas enam helikopter Airbus H225M kepada TNI-AU yang diterima tahun lalu.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!