X

Kindly register in order to view this article
!

Saarani hadir mesyuarat khas MT UMNO malam ini

Saarani - Foto Fail Bernama
A
A

IPOH - Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad antara yang akan hadir ke mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini.

Beliau mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Bernama.

Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan dijangka memberi fokus kepada situasi pembentukan kerajaan baharu Perak.

Saarani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan dikatakan antara calon Menteri Besar Perak daripada UMNO bagi menggantikan ADUN Chenderiang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kami sebulat suara calonkan Datuk Saarani'

[EKSKLUSIF] Saarani sudah dapat 26 sokongan SD jadi MB Perak

UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak

Jumaat lepas, pada persidangan DUN Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu gagal meraih sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya dan secara rasminya telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak, semalam.

UMNO merupakan parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam DUN Perak iaitu 25 diikuti, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan Pas (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Semalam, Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan melakukan penjajaran politik baharu dengan Pakatan Harapan sekiranya kerajaan Perikatan Nasional sedia ada tidak dapat dikekalkan.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Pengerusi Parti Amanah Rakyat (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi turut dilaporkan berkata bahawa gabungan antara UMNO dengan parti mereka, adalah sesuatu yang tidak mustahil.

Malah, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dilapor mengesahkan bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pimpinan UMNO negeri itu sebelum ini.

Saarani bagaimanapun enggan mengulas mengenai perjumpaan berkenaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!