PSM tunggu 'lampu hijau' MKN

Ahmad Ismail
Ahmad Ismail
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) kini hanya menunggu 'lampu hijau' daripada pihak kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung kebenaran untuk menyambung semula penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) 2020.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, pihaknya telah membuat permohonan berhubung perkara itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Negeri Sembilan ditamatkan mulai hari ini.

Namun, Kuala Lumpur dan Selangor masih dilanjutkan PKPB sehingga 20 Disember ekoran peningkatan kes Covid-19 kecuali bagi daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang akan kembali ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Dengan pengumuman kerajaan semalam (kelmarin), pihak PSM masih menunggu kebenaran daripada pihak MKN untuk kami sambung semula saingan STL yang ditunda sejak 12 Oktober lalu iaitu minggu keempat pertandingan Divisyen Premier.

“Saya secara peribadi berharap penganjuran STL 2020 dapat kami teruskan semula seperti yang telah dijadualkan. Sebelum ini, tarikh yang kami pilih adalah mulai 9 Disember hingga 26 Disember ini.

“Mungkin juga kali ini boleh diadakan secara quarantine base tetapi kami berharap STL 2020 ini dapat diteruskan di venue asal, Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur kerana banyak persiapan telah dilakukan di sana,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada 9 Oktober lalu, Ahmad menerusi satu kenyataan media memaklumkan, penganjuran STL 2020 terpaksa ditangguhkan selepas seorang pegawai yang terbabit dengan STL menjadi kontak rapat dengan seorang individu yang didapati positif Covid-19 ketika menaiki bas sama.

Biarpun pegawai terbabit disahkan bebas dijangkiti Covid-19, PSM sekali lagi terpaksa menangguhkan STL 2020 susulan keputusan kerajaan melaksanakan penguatkuasaan PKPB yang tamat tengah malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, penyambungan saingan STL kali ini dijangka lebih menarik apabila kesemua pemain kebangsaan diberikan peluang untuk kembali mewakili pasukan masing-masing.

“Penyertaan pemain-pemain pasukan kebangsaan nanti bakal menjadikan kesemua pasukan bertanding memiliki kekuatan yang sama dan menjanjikan tentangan yang lebih sengit serta mendebarkan.

“Apa pun, kami masih menunggu keputusan atau kelulusan daripada kerajaan berhubung perkara ini. Harapnya tiada masalah sepertimana yang telah kami rancang sebelum ini,” ujarnya.