ADUN Pokok Assam enggan kerjasama dengan UMNO

Thye Yih
Thye Yih
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Leow Thye Yih menegaskan pendirian bahawa beliau tidak mahu bekerjasama dengan UMNO dalam isu pembentukan kerajaan baharu di Perak.

Thye Yih berkata, beliau tidak akan menyokong mana-mana calon Menteri Besar daripada UMNO dan menggesa ADUN DAP lain di Perak supaya mengambil pendirian sama.

Katanya, keputusan beliau untuk menyertai DAP sebelum ini apabila Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dalam krisis politik berlaku pada tahun 2009.

"UMNO juga sekali lagi merampas kerajaan Pusat daripada Pakatan Harapan (PH) selepas PH mencipta sejarah apabila berjaya menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Parti itu turut merampas kerajaan Perak serta beberapa kerajaan negeri yang ditadbir PH di mana tindakan itu jelas menderhakai mandat yang diberikan oleh rakyat," katanya.

Menurutnya, kedua-dua peristiwa yang berlaku itu membuatkan beliau tidak akan menyokong mana-mana calon daripada UMNO sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

“Saya menyeru rakan-rakan seperjuangan DAP khasnya ADUN-ADUN DAP Perak menyokong pendirian saya dan seterusnya menolak mana-mana calon daripada UMNO sebagai Menteri Besar Perak berikutnya,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Terdahulu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, DAP di negeri itu bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] Pas dolak-dalik faktor UMNO cari kerjasama baharu

Kami sedia bekerjasama dengan UMNO: PH Perak

UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak