Padah menyamar jadi polis

Noorzainy menunjukkan seragam polis yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah.
Noorzainy menunjukkan seragam polis yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah.
A
A
A

KEPALA BATAS - Menyamar sebagai anggota polis sebelum bertindak menyamun mangsa, itu antara tindakan seorang lelaki dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat di kawasan Bertam baru-baru ini.

Suspek berumur 33 tahun itu dipercayai melakukan jenayah tersebut ke atas seorang penunggang motosikal warga asing.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek bertindak menyamar sebagai anggota polis sebelum bertindak menahan mangsa yang ketika itu sedang menunggang motosikal.

"Suspek bertindak mengugut mangsa yang tidak mempunyai lesen memandu dengan meminta wang sebanyak RM1,000.

"Mangsa yang tidak mempunyai wang sebanyak itu, kemudiannya dibawa ke satu tempat sebelum suspek bertindak menyamun mangsa," katanya.

Katanya, berang akibat tidak menuruti kemahuannya, suspek bertindak menyamun wang serta telefon bimbit milik mangsa.

"Mangsa kemudiannya tampil ke balai polis berhampiran dan membuat laporan berhubung kejadian," katanya.

Suspek kemudiannya berjaya ditahan sehari selepas kejadian oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal yang menjalankan tugas rondaan.

Artikel Berkaitan:

"Polis merampas uniform polis dan beberapa barangan dipercayai hasil samun yang dilakukan suspek.

"Hasil siasatan mendapati suspek terlibat dalam beberapa kes penyamaran sekitar daerah ini," katanya.

Siasatan dijalankan mendapati suspek sebelum ini merupakan anggota Sukarelawan Polis sebelum diberhentikan.

"Suspek dipercayai bertugas di sebuah daerah di sini sebelum diberhentikan akibat masalah dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan," katanya.